Thursday, March 15, 2012

Masa depan peneroka dijaga

KUALA LUMPUR 14 Mac - Kerajaan memberi jaminan masa depan peneroka akan sentiasa terjaga sebelum dan selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di Bursa Malaysia pada Mei ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, segala keistimewaan dinikmati peneroka seperti prasarana di tanah rancangan Felda, insentif produktiviti atau bonus akan terus disediakan.
Jelasnya, tanah kebun dan tapak rumah serta saham milik peneroka dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF) tidak akan diusik walaupun sedikit.
Menurut beliau, penyenaraian itu bakal menguntungkan peneroka Felda dengan FGVH mampu meningkatkan nilai aset-aset menerusi prospek perniagaan yang baik serta memperoleh dana bagi membiayai pertumbuhan masa depan yang tidak akan merugikan peneroka.
"Di samping itu, manfaat ekonomi peneroka dapat ditingkatkan melalui perkongsian keuntungan yang dijana selepas penyenaraian. Peneroka juga akan mendapat 'durian runtuh' dan berpeluang membeli saham FGVH semasa penyenaraian.
"Manfaat ekonomi daripada penyenaraian ini bukan sahaja dapat dinikmati oleh warga dan pekerja Felda, malah dikongsi seluruh rakyat melalui penyertaan pelbagai kumpulan pelabur semasa dan selepas penyenaraian.
"Tindakan itu adalah selaras dengan dasar mengurangkan Peranan Kerajaan Dalam Perniagaan (GRIB) dan Model Baru Ekonomi. Inisiatif itu adalah bertujuan menambah baik kecairan pasaran modal dan mengelakkan keadaan anti persaingan di sektor swasta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian)berhubung prestasi semasa pelaburan FGVH di dalam dan luar negara serta sejauh mana kajian mendalam mengenai penyenaraian FGVH pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Menyentuh sama ada persetujuan daripada peneroka telah diterima, Ahmad berkata, berdasarkan maklum balas daripada sesi penerangan yang telah diadakan menunjukkan sebahagian besar peneroka menyatakan sokongan terhadap penyenaraian itu.
"Minoriti yang tidak menyokong pula adalah disebabkan hasutan pihak-pihak tertentu," tegas beliau.
Kepada soalan tambahan Salahuddin mengenai nasib beberapa Felda yang masih tidak terbela dan langkah penyenaraian itu adalah tidak bijak, Ahmad menjelaskan, segala permasalahan berkaitan Felda LBJ dan Sendayan telah dapat diselesaikan.
"Bagaimana peneroka boleh dapat kerugian? Tanah mereka tak akan disentuh walau segenggam pun. Bagaimana peneroka boleh rugi? Saham KPF peneroka tak akan disentuh. Tidak disentuh walau satu sen pun. Peneroka akan dapat durian runtuh dan segala keistimewaan dikekalkan," katanya.
Berkenaan tindakan Salahuddin mempertikaikan pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda, Ahmad menjelaskan, Mohd. Isa mempunyai pengalaman 22 tahun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan ia merupakan negeri ketiga yang memiliki kawasan Felda terbesar di negara ini.
"Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Jempol dan sewaktu itu ada 27 Felda di kawasan tersebut. Jadi, beliau tahu perkara-perkara mengenai Felda dan peneroka, sebab itulah beliau dilantik menjadi Pengerusi Felda," ujarnya.
Ketika diaju soalan oleh Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) mengenai sama ada peneroka yang tidak setuju dengan penyenaraian FGVH akan turut mendapat keistimewaan selepas penyenaraian itu, Ahmad berkata, BN adalah kerajaan yang adil dan mereka juga akan turut diberikan segala keistimewaan berkenaan.

No comments:

Post a Comment