Tuesday, March 13, 2012

Pemimpin UMNO sambut baik keputusan Sharizat

KUALA LUMPUR: Pemimpin UMNO menyambut baik tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat seperti yang diumumkannya hari ini. 


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafiee Apdal, berkata langkah yang diambil oleh Ketua Wanita itu baik dan tepat pada masanya demi menjaga kepentingan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan juga parti.
"Kita sangat menghargai keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ianya adalah baik dan tepat pada masanya untuk pastikan kejayan kerajaan dan Barisan Nasional (BN). 

"Ini juga tidak ada kaitan dengan dia bersalah atau tidak, tapi 
semuanya dilakukan adalah demi kepentingan kerajaan dan juga parti," katanya 
yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. 

Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai Anggota Dewan Negara tamat 8 April depan. 

Bagaimanapun, katanya beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita UMNO dan Ketua 
Wanita Barisan Nasional (BN), selepas berfikir dengan panjang lebar bagi 
meneruskan tugas dan amanah yang diberikan kepadanya. 

Dalam pada itu, Mohd Shafiee meminta supaya golongan wanita tidak berasa 
terjejas dengan pengunduran Shahrizat selaku menteri kerana kerajaan memberi 
jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita kepada 
pembangunan negara. 

"Saya berharap dengan pengunduran Shahrizat, kaum wanita tidak akan berhenti 
menyumbang kepada negara. Tidak bermakna tanpa ada kedudukan dalam kabinet, 
tidak bererti wanita akan diketepikan. 

"Saya yakin Perdana Menteri sentiasa menghargai dan mengiktiraf perjuangan 
wanita," katanya. 

Ketua Penerangan parti, Datuk Ahmad Maslan pula meminta pihak pembangkang 
supaya tidak membuat kesimpulan mengelirukan berikutan pengumuman pengunduran 
Shahrizat. 

Katanya, tindakan Shahrizat adalah satu pengorbanan yang wajar kerana 
beliau mendahulukan kepentingan pandangan umum daripada kepentingan jawatannya sebagai menteri. 

"Shahrizat sudah tentunya mengkaji kesan tindakan beliau meletakkan jawatan bagi memudahkan penyiasatan seterusnya dilakukan," katanya. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, walaupun kes mengenai Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) masih disiasat, beliau mahu persepsi rakyat diperbetulkan dalam isu berkaitan. 

"Kes suami beliau belum dibawa ke mana-mana mahkamah. Kita ada prosedur 
perundangan dan seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah," katanya.

No comments:

Post a Comment