Tuesday, March 13, 2012

Perlu dicontohi pemimpin pembangkang

KUALA LUMPUR 11 Mac - Keputusan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu dicontohi pemimpin pembangkang yang terpalit dengan dakwaan skandal, rasuah dan seks.
Bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, keputusan yang dibuat oleh Shahrizat amat disanjung tinggi.
"Inilah pemimpin cakap serupa bikin, siasatan berkaitan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) masih lagi dijalankan, namun sanggup melepaskan jawatan.
"Tidak seperti pemimpin pembangkang yang mengutuk secara habis-habisan, apabila kena batang hidung sendiri dan berdiam diri serta menghalalkan apa yang dilakukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, langkah Shahrizat lebih bermaruah dan berani daripada pemimpin pembangkang yang tidak malu untuk terus memegang jawatan meski pun berdepan dengan pelbagai kesalahan.
"Apa yang dilakukan Shahrizat ini membuktikan beliau tidak mahu membabitkan kerajaan dalam kemelut NFC.
"Berbeza dengan pemimpin pembangkang tidak segan silu untuk memegang jawatan dalam parti," katanya.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan Shahrizat itu adalah suatu pengorbanan yang wajar dihargai oleh semua pihak.
"Khidmatnya masih lagi diperlukan kerana kegigihan dan usaha beliau memimpin wanita sejak memegang jawatan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment