Wednesday, April 11, 2012

Bukti BN tidak lupa janji




AHMAD Maslan (tengah) bersama guru, murid-murid dan penduduk kampung selepas perasmian bangunan baharu SK Seri Semangat, Benut, Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 10 April - Produk-produk 1Malaysia dan pelbagai projek pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji bagi memberikan kemudahan serta keselesaan rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, projek pembangunan dalam bidang pendidikan, kesihatan, keagamaan, prasarana dan sukan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan BN.
"Kerajaan BN akan sentiasa menunaikan janji kepada rakyat, tidak seperti pihak tertentu yang hanya berjanji tetapi tidak menepatinya," katanya semasa merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Semangat, Parit Stan, Benut yang dibina dengan kos RM7.3 juta baru-baru ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pembinaan bangunan baru SK Seri Semangat yang sebelum ini dibina dengan kayu merupakan janji beliau semasa mula-mula menjadi wakil rakyat kawasan tersebut pada 2008.
"Walaupun hanya mempunyai 70 orang murid, namun kerajaan sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi menunaikan harapan penduduk kampung yang inginkan sebuah sekolah baru.
"Permintaan mereka amat tepat memandangkan sekolah lama telah berusia lebih 50 tahun serta tidak lagi selamat untuk digunakan," katanya.
Beliau berharap, rakyat dapat menilai apa yang mampu dilakukan kerajaan BN berbanding kerajaan pimpinan pakatan pembangkang di beberapa negeri yang hanya inginkan kuasa tetapi tidak berupaya memenuhi tuntutan rakyat.

No comments:

Post a Comment