Tuesday, April 10, 2012

Integriti jadi nilai teras pengurusan Kumpulan Felda, FGVH

KUALA LUMPUR 9 April - Nilai integriti akan dijadikan teras dalam pengurusan Kumpulan Felda dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) bagi memastikan urusan perniagaan syarikat korporat itu mendokong prinsip antirasuah seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ia merupakan sebahagian daripada akujanji yang dicapai melalui Ikrar Integriti Korporat dan Pakatan Integriti oleh Felda dan FGVH bersama SPRM yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen hari ini. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, usaha kerajaan melalui perjanjian tersebut adalah untuk memastikan Felda dan syarikat-syarikat yang terbabit di dalam setiap urusan perniagaan memberi penekanan kepada aspek integriti serta akur kepada undang-undang khususnya yang berkaitan dengan perolehan dan aktiviti hasil. "Melalui aku janji ini, kita melihat aspek pengurusan antirasuah dan nilai integriti sebagai elemen penting. Kita mahu masukkan elemen itu sebagai teras dalam pengurusan korporat Felda dan FGVH. "Apabila integriti diberi penekanan, ia mampu menambah nilai dan kekuatan sesebuah organisasi dalam mengatasi kebocoran dan meningkatkan hasil," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Besar Felda, Datuk Suhaimi Zainuddin dan Presiden Kumpulan FGVH, Datuk Sabri Ahmad. Abu Kassim berkata, melalui perjanjian tersebut, SPRM juga akan memainkan peranan memupuk kesedaran pegawai-pegawai Felda dan pihak pembekal untuk memahami kesungguhan syarikat dalam mempertahankan nilai-nilai integriti. Tambah beliau, satu daripada syarat yang ditetapkan oleh pihaknya selepas perjanjian itu dimeterai ialah meminta Felda menyediakan laporan secara berkala setiap tiga atau empat bulan sekali bagi memantau bidang-bidang yang boleh dibantu serta inisiatif lain yang boleh dilakukan. Sementara itu, Mohd. Isa berkata, perjanjian bersama yang ditandatangani oleh Felda dan FGVH dengan SPRM tersebut seiring dengan perkara kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu usaha pencegahan rasuah. Mengulas penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia, kata Mohd. Isa, penyenaraian tersebut dijangka dilakukan menjelang Mei hingga Jun tahun ini.

No comments:

Post a Comment