Tuesday, April 10, 2012

Kerajaan tanggung subsidi yuran IPTA 90 %

KUALA LUMPUR 9 April - Semua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu diberitahu bahawa kerajaan menanggung subsidi yuran pengajian sebanyak 90 peratus bagi meringankan beban mereka. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini bermakna mereka hanya perlu membuat pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk 10 peratus daripada yuran pengajian yang dikenakan. Katanya, perkara itu membuktikan kerajaan cukup mengasihi pelajar biarpun tidak memberikan pendidikan percuma yang dilihat lebih mendatangkan keburukan. "Antara kesannya, pelajar akan malas untuk belajar bersungguh-sungguh sekali gus mengajar rakyat tidak bertanggungjawab membayar hutang. "Kerajaan dah cukup simpati kepada pelajar, bayangkan jika diminta bayar 90 peratus jumlah yuran itu; lagi tinggi hutang mereka. "Oleh itu, janji pakatan pembangkang untuk melupuskan hutang PTPTN sekali gus memberikan pendidikan percuma hanya janji populis semberono tanpa memikirkan kesannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas berdialog dengan 14 NGO Negeri Sembilan yang diketuai Datuk Ayub Yahya. Pertemuan itu antara lain bagi menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menerajui negara. Antara NGO yang hadir adalah Gerakan Belia 4B; Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM); Kesatuan Sekerja Perubatan Negeri Sembilan; Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Berhubung pertemuan itu, Ahmad Maslan berkata, sokongan NGO itu membuktikan rakyat dapat menerima dan berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang dipimpin BN. "Mereka bersetuju membantu BN mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti dengan memberi penerangan kepada golongan belia dan penduduk kampung," katanya.

No comments:

Post a Comment