Monday, April 16, 2012

Mangsa ribut, banjir di Pontian terima sumbangan




Ahmad Maslan (empat dari kanan) bersama penerima mangsa bencana alam di SK Sanglang Pontian, baru-baru ini.


PONTIAN 15 April - Pejabat Ahli Parlimen Pontian menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut serta banjir yang berlaku di Sanglang dan Pulai Sebatang yang terdiri daripada 35 mangsa hujan air batu, empat mangsa ribut dan sembilan mangsa banjir di sini baru-baru ini.
Sumbangan disampaikan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang turut melahirkan rasa simpati dan berharap setiap mangsa kejadian tersebut bersabar dan cuba meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Ribut yang berlaku di kawasan Sanglang dan sekitarnya yang turut disertai dengan hujan air batu amat jarang berlaku. Namun, ia merupakan fenomena alam yang kadang kala terpaksa ditempuhi dan mungkin ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.
"Bantuan yang diberikan diharap dapat digunakan bagi membeli zink yang dikatakan berlubang ataupun diterbangkan angin dalam kejadian yang berlaku pada hujung minggu lalu," katanya ketika berucap pada majlis di Sekolah Kebangsaan (SK) Sanglang, di sini.
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sumbangan itu juga bertujuan meringankan beban kewangan mangsa termasuk penduduk dua buah kampung di Pulai Sebatang yang terpaksa dipindahkan ke SK Pulai Sebatang.
Sementara itu, Ketua Kampung Kawasan (2) Mukim Ayer Baloi, Sanusi Tasek berkata, sumbangan tersebut adalah yang pertama diterima oleh mangsa bencana alam yang secara keseluruhan membabitkan lima buah kampung iaitu Kampung Sanglang, Kampung Puteri Menangis, Kampung Parit Terus, Kampung Parit Keroma dan Kampung Parit Maklumi.
"Kami bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan yang berlaku kepada mangsa ribut serta hujan air batu yang turun mencurah-curah dalam tempoh agak lama," katanya.

No comments:

Post a Comment