Sunday, April 22, 2012

Minda Pengarang: FGVH: Bukti peneroka tak termakan fitnah pembangkang


KEPUTUSAN mesyuarat agung luar biasa (EGM) Koperasi Felda Malaysia Berhad (KPF) kelmarin, jelas membuktikan majoriti ahli koperasi berkenaan menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia pada Jun ini. Hasil EGM itu dengan sendirinya dapat menempelak pembangkang yang dilihat cuba mempolitikkan isu berkenaan, walaupun pada hakikatnya penyenaraian FGVH sebenarnya membawa banyak manfaat kepada ahli KPF. Jika tidak, masakan majoriti ahlinya memberi sokongan kepada langkah KPF. Dalam undian yang dijalankan itu, 88 peratus daripada 1,250 ahli yang hadir pada EGM itu menyatakan persetujuan mereka dengan langkah menyenaraikan FGVH dan hanya 120 ahli menentangnya. Selain itu, EGM berkenaan juga mempersetujui agar saham KPF dalam Felda Holdings Berhad dijual kepada FELDA di samping memberi mandat kepada Lembaga KPF untuk berunding, menghalusi, menerima dan meminda sebarang terma tertakluk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Seperti ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, keputusan EGM itu menggambarkan majoriti 224,000 ahli KPF bersetuju dengan penyenaraian FGVH itu melalui wakil mereka yang sah pada mesyuarat berkenaan. Sebelum ini EGM KPF tertangguh selama lebih sebulan berikutan tindakan lapan peneroka FELDA yang juga ahli KPF memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuantan pada 17 Februari untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang sebarang keputusan pada EGM yang sepatutnya diadakan pada 22 Februari lalu. 


Bagaimanapun pada 2 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak injunksi itu selepas hakim berpendapat sebarang masalah berkaitan koperasi hendaklah dibawa ke pengetahuan SKM yang mempunyai kuasa menyelesaikannya. Peneroka FELDA kini memahami bahawa penyenaraian itu akan memberi mereka lebih banyak ganjaran dan kebaikan seperti ‘durian runtuh’ yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu perhimpunan raksasa di Jerantut, Pahang pada 8 Mei ini. Kita percaya pembangkang sememangnya tidak senang dengan apa jua kebaikan yang bakal dinikmati peneroka menerusi penyenaraian itu dan sentiasa menaburkan pelbagai fitnah dan pembohongan. Niat jahat pembangkang itu kini sudah tidak berkesan untuk menipu rakyat terutama peneroka kerana rakyat sudah sedar bahawa matlamat pembangkang hanya satu iaitu untuk memenangi pilihan raya tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat. Mungkin ada segelintir pihak yang akan termakan fitnah pembangkang tetapi apa yang jelas ialah sebahagian besar daripada peneroka kini lebih memahami tujuan sebenar FGVH disenaraikan di Bursa Malaysia. Pastinya warga FELDA boleh berbangga apabila FGVH muncul sebagai syarikat gergasi baru pada peringkat global, selain hasilnya kelak dapat dinikmati bersama oleh peneroka sehingga kepada generasi seterusnya.
Kita percaya pembangkang sememangnya tidak senang dengan apa jua kebaikan yang bakal dinikmati peneroka menerusi penyenaraian itu dan sentiasa menaburkan pelbagai fitnah dan pembohongan. Niat jahat pembangkang itu kini sudah tidak berkesan untuk menipu rakyat terutama peneroka kerana rakyat sudah sedar bahawa matlamat pembangkang hanya satu iaitu untuk memenangi pilihan raya tanpa mengambil kira kesejahteraan rakyat.

No comments:

Post a Comment