Sunday, April 22, 2012

Pembangkang suka tuding jari


Parti pembangkang boleh disifatkan sebagai kumpulan yang suka menuding jari di atas kesilapan sendiri.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata demikian ketika mengulas insiden yang berlaku di Dataran Merdeka, awal pagi semalam.
 
Menurutnya, apa yang berlaku itu tidak ada kaitan dengan Umno.
 
“Pembangkang ni memang suka tuduh, kalau ada kereta atau basikal pancit di tengah hutan juga mereka tuduh Umno yang buat,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen semalam.
 
Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, beliau percaya polis akan segera menyiasat punca kejadian itu dan mengingat orang ramai terutamanya pembangkang untuk tidak mudah menuding jari.
 
“Itulah, orang tidur di rumah, mereka tidur di dataran... Kalau jadi apa-apa mahu salahkan kerajaan,” katanya.
 
Ketika ditanya berhubung dakwaan bahawa Umno menjadi dalang insiden terbabit berikutan pihak berkuasa dikatakan enggan membantu mereka diserang, Ahmad berkata, beliau tidak boleh menjawab bagi pihak polis dan berharap perkara itu akan dijelaskan dalam masa terdekat ini.
 
Sementara itu di Pekan, Ahmad berkata, tindakan pembangkang membangkitkan pelbagai isu seperti pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya boleh dianggap kenyataan bersifat ‘populis semberono’.
 
Menurutnya, kelantangan­ pembangkang menyuarakan isu yang mustahil dilaksanakan itu hanya satu helah.
 
Mengulas mengenai kumpulan mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka bagi menuntut pemansuhan PTPTN, Ahmad berkata, kumpulan berkenaan menonjolkan diri sebagai tali barut pembangkang.
 
“Saya nasihatkan mahasiswa terutamanya mereka yang terlibat agar berhenti diperalatkan pembangkang,” katanya.

No comments:

Post a Comment