Friday, April 6, 2012

Permohonan baru permit teksi dibeku


KUALA LUMPUR 5 April - Kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah membekukan semua permohonan baru bagi permit teksi bajet dan kereta sewa kepada syarikat mahupun individu bermula 1 Januari 2010.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sehubungan itu SPAD kini menjalankan kajian secara menyeluruh terhadap perkhidmatan teksi bagi meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan itu di negara ini.
Katanya, skop kajian yang dinamakan Pelan Penambahbaikan Teksi itu merangkumi pelbagai aspek seperti menentukan tahap keseimbangan antara permintaan dan penawaran perkhidmatan dan mengenal pasti potensi penggabungan kelas lesen bagi memastikan tahap penggunaan teksi yang optimum.
"Aspek lain adalah mewujudkan mekanisme khas bagi menyemak dan meneliti kadar tambang yang boleh diguna pakai serta mewujudkan pangkalan data lengkap bagi pemandu teksi.
"SPAD juga akan mengenal pasti penggunaan teknologi bersesuaian supaya tahap kecekapan operasi teksi dapat ditingkatkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan R. Sivarasa (PKR-Subang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, skop kajian juga merangkumi proses mengenal pasti reka bentuk serta spesifikasi yang sesuai bagi sesebuah kenderaan teksi terutama untuk penumpang kurang upaya (OKU).
Tambahnya, SPAD akan mengkaji kemungkinan melaksanakan skim perlindungan khas melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau skim lain bagi menjaga kebajikan pemandu teksi.
"Kajian itu turut mengambil kira isu pemberian permit teksi kepada syarikat-syarikat dan juga pemberian permit teksi kepada individu," katanya.

No comments:

Post a Comment