Monday, April 16, 2012

Rang Undang-Undang Ganti ISA Satu Sejarah Menakjubkan – Ahmad


MELAKA, 16 April – Pembentangan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disifatkan satu lingkaran sejarah yang menakjubkan dalam transformasi politik negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata ia menggambarkan kematangan politik di negara ini.
“Ini suatu kematangan politik yang hebat dan kita yakin selepas ini demokrasi akan semakin subur di Malaysia,” katanya selepas menghadiri program Pemantapan Jalinan Rakyat Wanita BN Parlimen Bukit Katil yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) membuat perancangan rapi dalam mentadbir negara demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Katanya ia berbeza dengan pembangkang yang membangkitkan sesuatu perkara bertujuan hanya untuk mencari populariti sementara tanpa memikirkan kesan daripada tindakan mereka.
“Mereka kata mansuhkan ISA tetapi mereka tidak memberikan alternatif apabila ISA itu mansuh, nak diganti dengan apa?” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed berhubung kewajaran mengadakan pilihan raya dalam masa terdekat ini, Ahmad berkata ia terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri.
Bagaimanapun Ahmad yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata sokongan rakyat terhadap kepimpinan BN semakin memuncak dari sehari ke sehari ekoran rakyat telah mengetahui tipu helah pembangkang yang sekadar mencari populariti.
Katanya pembangkang juga gagal menunaikan janji yang dibuat seperti yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

No comments:

Post a Comment