Friday, May 18, 2012

Hari terakhir meriah



SULTAN Ibrahim membungkus tempe ketika menyertai demonstrasi membuat makanan tradisi di Kampung Puteri Menangis, Pontian, Johor, semalam.

PONTIAN 16 Mei - Suasana hari terakhir program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2012 berlangsung meriah dengan pelbagai acara menarik bersama rakyat jelata.
Antara acara yang menjadi tumpuan ramai apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencemar duli menyertai pertandingan memancing di kawasan parit semasa rombongan baginda singgah di Dataran Kampung Puteri Menangis, dekat sini.
Baginda menerima tepukan gemuruh daripada rakyat jelata apabila berjaya menaikkan ikan keli setelah beberapa kali ikan terlepas daripada mata kail yang menggunakan joran batang buluh.
Turut berangkat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.
Hadir sama Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon.
Sultan Ibrahim turut berkenan menyaksikan pelbagai acara yang diadakan termasuk sepak raga bulatan, ting-ting, panjat tiang licin, demonstrasi membuat makanan tradisi etnik Bugis, Burasak dan tempe bagi etnik Jawa.
Baginda turut berkenan menyampaikan dua motosikal kurniaan baginda kepada pemenang cabutan nombor bertuah.
Terdahulu, pada hari terakhir KMJ 2012, Sultan Ibrahim turut beramah mesra dengan masyarakat Tionghua di Rumah Berhala Lim Sz Chong Su di Jalan Fatimah, Batu Pahat.
Rombongan baginda turut singgah di Kompleks Komuniti Kempas, Johor Bahru untuk beramah mesra dengan rakyat jelata serta menyampaikan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kepada golongan yang memerlukan.
Konvoi KMJ 2012 yang bermula 12 Mei lalu mengakhiri jelajah ke seluruh negeri ini di padang awam Plaza Angsana untuk menghadiri majlis penutupan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Setelah mengharungi perjalanan sejauh lebih 1,000 kilometer bermula dari Kulaijaya, nyata KMJ 2012 berjaya mengeratkan lagi hubungan pihak istana dengan rakyat jelata.
Malah, KMJ 2012 lebih bermakna apabila Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sendiri pelbagai kurniaan baginda termasuk dua buah motosikal kepada penerima bertuah di semua 10 daerah yang dikunjungi.

No comments:

Post a Comment