Wednesday, May 30, 2012

Lupakan cadangan muzakarah


KUALA LUMPUR 22 Mei - Cadangan untuk mengadakan muzakarah di antara UMNO dan Pas wajar dilupakan sahaja kerana parti pembangkang itu tidak pernah menunjukkan keikhlasannya.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, Pas hanya tahu memberi pelbagai alasan dan tetapi tidak bersungguh-sungguh dalam mencari jalan penyelesaian.
"Dengan keadaan yang semakin bercelaru ini, kita tidak perlu ada muzakarah. Sebarang perbincangan perlu ada ketulusan dan keikhlasan untuk menyelesaikan masalah, kalau tidak ikhlas, apa pun tidak menjadi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu muzakarah kembali timbul apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk berbuat demikian.
Namun, apabila hasrat itu disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Nik Abdul Aziz mula meletakkan syarat iaitu UMNO perlu menerima rakan pakatan Pas dalam pembangkang dan menukar dasar kebangsaan kepada Islam terlebih dahulu.
Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memadam spekulasi untuk bermuzakarah apabila menegaskan pertemuan itu tidak akan berlaku dan menyifatkan ia hanya permainan politik UMNO menjelang pilihan raya umum.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berpendapat, keputusan Presiden Pas menolak muzakarah tersebut menggambarkan ada pihak-pihak tertentu yang mengawal tindak tanduk parti itu.
"Ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin-pemimpin parti itu mungkin bertuankan dengan pihak yang lain di luar Pas dan mempunyai agenda politik peribadi.
"Sebenarnya, Presiden Pas tidak mempunyai alasan kukuh untuk menolak cadangan muzakarah yang dicadangkan sendiri oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Kata beliau, sebarang muzakarah yang hendak dilakukan seharusnya mengenepikan fahaman politik parti masing-masing.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut kesal dengan tindakan Pas menjadikan isu muzakarah sebagai permainan politik mereka.
"Salam perpaduan di pihak UMNO telah dihulur, namun mereka ini sengaja memberi pelbagai alasan untuk tidak meneruskan usaha ini.
"Kita yakin rakyat tahu siapa sebenarnya ikhlas dalam memperjuangkan perpaduan Islam dan UMNO tidak akan meletakkan noktah dalam meneruskan perjuangan ini demi kepentingan umat Islam keseluruhannya," ujar beliau.

No comments:

Post a Comment