Wednesday, May 30, 2012

Negara-negara Arab tolak LGBT


PULAU PINANG 28 Mei - Negara-negara Islam di rantau Arab senada dengan Malaysia mengharamkan ideologi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) daripada diamalkan di negara masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pendirian tegas itu disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Switzerland pada Februari lalu yang meminta penjelasan Malaysia berhubung perkara tersebut.
"Pada mulanya saya dan pegawai daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berdepan masalah menjelaskan kepada pejuang hak kebebasan asasi PBB tentang perkara ini.
"Ini kerana jika kita menggunakan hujah hadis dan al-Quran, mereka tidak akan faham dan saya terpaksa berbincang dengan peguam syarie mengenai hujah yang ingin disampaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah pada Seminar Wasatiyyah dan 1Malaysia di Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan
Menurutnya, ketika pertemuan itu berlangsung pihaknya telah mendapat pertolongan negara-negara Arab yang juga mengharamkan ideologi berkenaan.
Ketika itu, katanya, wakil negara-negara Arab yang turut dipanggil dengan lantang dan tegas menolak LGBT walaupun atas nama kebebasan dan hak asasi manusia.
"Pada masa sama, umat Islam di negara ini harus sedar ancaman LGBT ini hadir dalam pelbagai bentuk dan kumpulan itu akan menggunakan pelbagai kaedah untuk menyebarkannya," jelasnya.
Jelas beliau, ancaman terbaru termasuk daripada orang Islam sendiri yang menjadi ejen kepada penularan ideologi itu.
Ia, kata beliau, seperti menerusi terjemahan buku Irshad Manji iaitu Allah, Kebebasan dan Cinta yang sebenarnya hanya mahu melihat umat Islam berbalah mengenai isi kandungan buku tersebut.
Ketika ditemui pemberita selepas seminar tersebut, Jamil Khir berkata, beliau telah menulis surat kepada Menteri Haji dan Wakaf Arab Saudi bagi memastikan kuota jemaah haji Malaysia tahun ini tidak terjejas ekoran tindakan penyokong Bersih berdemonstrasi menyokong perhimpunan haram tersebut di negara berkenaan pada 28 April lalu.
Katanya, surat itu akan disampaikan Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang akan ke negara tersebut minggu ini.
Menyentuh mengenai seminar itu pula, Jamil Khir berkata, ia merupakan siri kelima selepas dianjurkan di Kedah, Perak, Selangor serta Negeri Sembilan dan akan diadakan di seluruh negara dari semasa ke semasa.
"Pemahaman rakyat terhadap konsep wasatiyyah dan gagasan 1Malaysia semakin mantap dan saya yakin ia dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab seharian.
"Lima kumpulan masyarakat yang menjadi kumpulan sasar program ini adalah penjawat awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), belia, pekerja swasta dan anggota parti politik," jelasnya.

No comments:

Post a Comment