Wednesday, May 2, 2012

Pembangkang mahu musnahkan negara



AHMAD Maslan bersalaman dengan pesara polis negeri Selangor selepas merasmikan program Rapat 1Malaysia di Universiti Teknologi Mara, Slah Alam, semalam. - 

SHAH ALAM 28 April - Keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sejak sekian lama di negara ini tidak seharusnya dibiarkan musnah oleh sekumpulan minoriti rakyat yang tidak bertanggungjawab.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, negara ini dibina oleh majoriti rakyat yang mendokong aspirasi kerajaan serta menolak mana-mana kumpulan yang cuba mencetuskan keadaan huru-hara.
Beliau berkata, tindakan sesetengah organisasi atau individu yang sanggup menghancurkan negara demi mencapai agenda tersendiri perlu ditentang.
“Majoriti rakyat di negara ini cintakan keamanan dan kedamaian yang dikecapi sejak sekian lama lagi, justeru kita tidak seharusnya membiarkan mereka yang minoriti ini berusaha menghancurkan negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Rapat 1Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.
Ahmad mengulas mengenai penganjur perhimpunan Bersih 3.0 yang tetap mahu mengadakan perhimpunan itu di Dataran Merdeka meskipun dilarang oleh Mahkamah Majistret dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran Bersih 3.0 yang merupakan agenda pakatan pembangkang memang sengaja mahu mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara agar mendapat perhatian rakyat.
Jelasnya, penganjur Bersih 3.0 dan pemimpin pakatan pembangkang tidak mahu negara ini aman dan makmur kerana itu akan memberi rekod baik kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti berjaya mentadbir negara dengan cemerlang.
“Penganjuran Bersih itu hanya akan menakut-nakutkan pelancong dan itulah sebenarnya yang mereka mahukan kerana Malaysia merupakan negara kesembilan paling popular dalam kalangan pelancong dari seluruh dunia.
“Hal ini kerana negara kita sentiasa aman serta mempunyai politik yang stabil. Inilah yang tidak digemari oleh pakatan pembangkang kerana mereka tidak suka benda baik berjaya dilakukan oleh BN," jelasnya.
Ahmad turut menyelar niat penganjuran Bersih 3.0 diadakan kerana kerajaan sedang melakukan banyak perkara untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini termasuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang turut dianggotai oleh ahli Parlimen pembangkang.

No comments:

Post a Comment