Wednesday, May 9, 2012

Srikandi Bestari sasar kumpul 30,000 buku


PONTIAN 8 Mei - Persatuan Srikandi Bestari Negeri Johor menyasarkan kira-kira 30,000 buku dapat dikumpulkan pada program Jelajah Buku sempena Himpunan Belia Iskandar Malaysia pada 17 Mei ini di Johor Bahru.

Pengerusinya, Aspalela Mohamad Hasan berkata, program itu yang dimulakan 23 April lalu bertujuan mengumpulkan seberapa banyak buku ilmiah yang tidak digunakan untuk disumbangkan kepada orang ramai.
Menurutnya, orang ramai boleh menyumbangkan buku-buku mereka dengan memasukkan ke dalam kotak yang terdapat di stesen minyak Petronas atau kepada Persatuan Srikandi Bestari di setiap daerah.
“Buku ilmiah itu penting bagi membantu meningkatkan pengetahuan orang ramai dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial, pendidikan, belia dan sebagainya.
“Usaha ini juga diharap dapat membantu mereka yang mempunyai banyak buku ilmiah supaya berkongsi dengan orang lain daripada ia dibakar atau dijual sebagai barangan kitar semula," katanya selepas majlis pelancaran Jelajah Buku peringkat negeri yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan di Pusat Penerangan Pelancongan Pontian, di sini baru-baru ini.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Pontian, Joharnuddin Samion; Pegawai Kemas daerah, Lukman Nordin dan Pengerusi Persatuan Srikandi Bestari Pontian, Hasrunzah Hassan.
Aspalela berkata, program Jelajah Buku diharap menyedarkan orang ramai mengenai pentingnya bahan tersebut yang boleh dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment