Saturday, May 12, 2012

UMNO komited perjuang hak seluruh rakyat


KUALA LUMPUR 10 Mei - UMNO komited dalam perjuangan meningkatkan kualiti hidup dan hak seluruh rakyat Malaysia dan bukan hanya memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, selama 66 tahun UMNO menerajui pemerintahan negara, parti itu tidak pernah sekalipun melakukan dasar mahupun pelan transformasi yang hanya memihak dan menguntungkan orang Melayu sahaja.
"Memang teras perjuangan UMNO adalah bagi memperkasakan dan mendaulatkan hak orang Melayu, tetapi jika kita lihat dari dulu hingga kini tidak ada satu pun yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk sebuah kaum sahaja, dan jika ada mengapakah kerajaan kini beriya-iya mempromosikan identiti dan budaya 1Malaysia?
"Kedai rakyat 1Malaysia (KR1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan banyak lagi dasar dan juga pemberian kerajaan kepada rakyat untuk mengurangkan beban tidak hanya menfokuskan kepada orang Melayu sahaja, maka saya anggap UMNO sehinggi kini telah terlalu banyak membantu dan menjaga kebajikan rakyat di negara ini keseluruhannya," katanya dalam program "Soal Jawab" terbitan TV3 malam tadi.
Program wawancara itu dipengerusikan oleh Datuk Johan Jaafar, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad.
Turut menjadi panel tamu pada program yang membincangkan hala tuju UMNO sempena ulang tahun ke-66 penubuhan parti itu ialah bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang.
Ditanya perbezaan UMNO pada tahun 2008 dan pada masa sekarang bagi menghadapi pilihan raya umum, Ahmad Maslan berkata, kekuatan UMNO pada kali ini berada ditahap optimum yang mana ia juga melibatkan peringkat akar umbi.
"2008 dahulu kita dilanda "tsunami" ekoran lima negeri kita kalah dan terpaksa diserahkan kepada pembangkang tetapi kini atas komitmen dan gerak kerja yang saya lihat Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lakukan tidak mustahil kita mampu peroleh apa yang kita rancang untuk pilihan raya akan datang nanti.
"UMNO juga semakin matang dan ia boleh dilihat sendiri apabila presiden sendiri memohon maaf kepada anggota parti atas kesilapan dan kekhilafan pimpinan lalu yang menyebabkan kita tidak memperoleh kemenangan yang "total" semasa 2008," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment