Saturday, May 12, 2012

UMNO perlu bersedia hadapi cabaran


UTUSAN: Apa pengharapan Datuk sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 ? 
AHMAD MASLAN: Sempena 66 tahun kelahiran UMNO, kita mengharapkan agar UMNO akan terus melakukan transformasi sebagai sebuah parti politik terbesar yang dianggotai oleh 3.4 juta orang Melayu dan bumiputera lain.
Ia penting untuk menghadapi cabaran mendatang kerana pada saya kita kini berdepan dengan masyarakat yang lebih terbuka, berani menyuarakan pandangan, mendapat banyak maklumat daripada pelbagai sumber, termasuk dari media baru.
Jadi pada saya, kita perlu menyediakan diri untuk menghadapi cabaran itu.
Pada pandangan Datuk, apakah fokus utama transformasi tersebut?
Kita mempunyai empat perkataan yang berkait rapat dengan rakyat iaitu mesra rakyat, mendahului rakyat, juara rakyat dan pembela rakyat.
Semua perkataan itu adalah tema perjuangan UMNO dan tema sambutan kali ini adalah pembela rakyat dan ini menjadi fokus pemerintah negara sekarang yang diketuai oleh Presiden UMNO.
Maka, pada kita, rakyat ialah segala-galanya tetapi bila sebut rakyat, itu bukan hanya Melayu sahaja tetapi rakyat secara keseluruhan dan juga di pentas global.
Bagaimana pula dengan golongan anak muda ?
Kita tidak pernah melupakan atau meminggirkan peranan golongan anak muda dalam perjuangan parti. Hampir 1/3 daripada 3.4 juta ahli UMNO ialah kumpulan anak-anak muda dan kita akan terus berusaha bukan hanya untuk menambah keahlian di kalangan mereka tetapi memberikan lebih banyak peluang dalam mengepalai perjuangan parti.
Saya harap UMNO akan beri lebih tempat kepada anak muda kerana perlu ada keseimbangan dan dalam masa yang sama, UMNO perlu menyediakan pemimpin pelapis untuk masa depan.
Apakah Datuk merasakan ahli UMNO akan menjadikan sambutan Ulang Tahun UMNO ke-66 sebagai pemangkin semangat untuk menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO atau Barisan Nasional (BN) ?
Saya berpendapat setiap ahli UMNO menyedari perkara itu kerana ia adalah antara tiga perkara utama yang menjadi cabaran dalam memperkasakan parti di masa depan.
Selain menangani cabaran berdepan dengan ahli parti yang tidak setia dan kecewa serta memburukkan UMNO, parti itu perlu berusaha mendamping anak-anak muda untuk cintakan parti dan mengikut perjuangan parti.
Kita kena bantu anak-anak muda secara berterusan kerana itu adalah tanggungjawab selaku parti yang memerintah.
Sama ada mereka akan berterima kasih atau tidak selepas berjaya hasil bantuan kita, itu terserahlah kepada mereka untuk menentukan.
Adakah Datuk yakin ahli UMNO akan berubah ?
UMNO tidak mengaku kita parti yang sempurna. Namun di sebalik ketidaksempurnaan itu, kami akan terus memperbaiki dan muhasabah diri. Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah sebut yang beliau minta maaf atas apa yang berlaku pada 2008 hinggakan kalah lima negeri.
Rakyat mengingatkan agar pimpinan UMNO lebih mesra, lebih rapat dengan rakyat, membela rakyat, tidak sombong dan lain-lain.
Kami mendengar itu semua dan kami sanggup berubah untuk kepentingan rakyat.
Saya berharap UMNO dan BN dapat diterima oleh majoriti rakyat sebagai satu pasukan yang berupaya membawa kemakmuran dan keamanan negara.

No comments:

Post a Comment