Wednesday, May 30, 2012

'Uptown' majukan bisnes bumiputera



AHMAD Maslan bersama Ahli Jawatankuasa 'Uptown' Johor Bahru menunjukkan replika tajaan akhbar Utusan di Pasar Borong Pandan, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 25 Mei - Pembinaan bangunan separa kekal Pandan Uptown yang menempatkan 150 ruang niaga untuk disewa adalah pendekatan bagi memajukan perniagaan bumiputera dan menjadi satu lagi daya tarikan di bandar raya ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, konsep 'uptown' seperti itu telah terbukti mendapat sambutan kerana kewujudannya di Korea Selatan, China dan beberapa negara lain membolehkan pengunjung dari dalam dan luar negeri mendapatkan pelbagai jenis produk pada harga berpatutan.
"Saya mencadangkan mungkin 10 lagi 'uptown' dibina di seluruh Johor Bahru melalui perancangan strategik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB). Pembinaan tempat seperti Pandan Uptown ini tidak boleh ditunda terlalu lama dan lokasi perniagaan seperti ini adalah baik, bukan tempat yang kecil seperti mahu menjual sesikat pisang.
"Masyarakat bumiputera khususnya orang Melayu harus mengambil kesempatan ini untuk menambah pendapatan agar dapat menyaingi kaum Cina yang mempunyai kekuatan ekonomi menerusi perniagaan. Ini kerana kejayaan hanya dikecapi oleh mereka yang berusaha gigih," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Prapelancaran Pandan Uptown yang diusahakan oleh Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru (PPPPIKMJB), bersebelahan dengan Pasar Borong Pandan dan merasmikan mesyuarat agung ke-12 persatuan tersebut, di sini hari ini.
Turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut; Yang Dipertua PPPPIKMJB, Abdullah Md. Yusuf dan Pengerusi Biro Ekonomi PPPPIKMJB, Zaini Atan.
Pada majlis itu, persatuan tersebut turut menyampaikan cek tajaan akhbar Utusan Malaysiaselama setahun yang bernilai RM12,000.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, aktiviti perniagaan harus disertai umat Islam kerana ia bukan sahaja sunnah Rasulullah tetapi juga beberapa nabi lain turut menceburi kegiatan berkenaan.
"Secara relatif masa, kaum Cina yang diletakkan penjajah di kawasan bandar terlebih dahulu mula berniaga untuk kehidupan dan kita sekarang ini baru hendak bermula. Tidak hairan daripada 40 senarai individu terkaya di Malaysia, ramai terdiri daripada orang Cina, selebihnya lapan Melayu dan tiga India," katanya.
Sementara itu, Abdullah berkata, Pandan Uptown dimulakan menggunakan khemah dan kini beralih kepada bangunan separa kekal yang dibina dengan kos RM5 juta dan mula dibuka 1 Jun ini.
Menurutnya, bangunan itu juga akan diberi nama Pandan Uptown 1Malaysia bagi mencerminkan bukan sahaja peniaga Melayu, malah kaum India dan Cina turut berniaga di situ dan pihaknya berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat merasmikannya nanti.
"Nasib peniaga dan penjaja di negeri ini terbela dengan kepimpinan sedia ada, tidak seperti di sesetengah negeri lain. Malah, kurniaan sebidang tanah di Taman Universiti di Skudai kepada persatuan juga akan dimajukan kelak," katanya.

No comments:

Post a Comment