Wednesday, May 30, 2012

Wasatiyyah tolak budaya ekstremis


RASAH 21 Mei - Konsep wasatiyyah merupakan resipi terbaik menolak budaya ekstremis kerana ia mampu mewujudkan keharmonian dalam masyarakat di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, konsep kesederhanaan itu wajar menjadi amalan bukan sahaja di kalangan umat Islam bahkan melibatkan penganut agama lain.
"Wasatiyyah ini bermaksud kesederhanaan yang mana pendekatannya selari dengan apa yang diperjuangkan melalui gagasan 1Malaysia yang turut mempunyai ciri tersebut selain adil dan terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah pada Majlis Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, dekat sini hari ini.
Jelasnya, konsep wasatiyyah sudah lama dijadikan panduan dalam pentadbiran negara memandangkan konsep ia relevan untuk semua rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama selain tertakluk dalam Perlembagaan.
"Gagasan 1Malaysia yang dibentuk kerajaan juga sudah cukup mencerminkan bahawa kita sememangnya mengamalkan wasatiyyah kerana ia diwujudkan untuk semua," katanya.
Mengulas mengenai seminar itu, Ahmad memberitahu, ia akan dijalankan di setiap negeri dalam usaha menyebar luas pemahaman konsep tersebut di kalangan masyarakat.
"Negeri Sembilan merupakan negeri kedua, kita sudah selesai di Kedah dan selepas ini akan ke Selangor seterusnya ke negeri lain sehingga hujung Jun ini," katanya.
Beliau menambah, seminar itu disasarkan disertai seramai 1,500 peserta pada setiap kali penganjurannya.

No comments:

Post a Comment