Thursday, June 21, 2012

2008 iktibar buat jentera BN


KUALA LUMPUR 20 Jun - Kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri pada pilihan raya umum 2008 mempunyai hikmah tersendiri bukan sahaja kepada rakyat, malah jentera parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia memberi iktibar kepada semua jentera agar sentiasa menyelesaikan masalah dalaman masing-masing supaya tidak menjejaskan peluang kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"Jentera BN jangan mengulangi kesilapan lalu dan selesaikan masalah dalaman dengan segera.
"Masalah utama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah kerana masa banyak terbuang hanya untuk menyelesaikan masalah dalaman ketika tempoh kempen pilihan raya," ujarnya kepadaUtusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kekalahan BN di beberapa negeri termasuk Kedah pada pilihan raya umum 2008 mempunyai hikmah tersendiri.
Ini kerana, kata Timbalan Perdana Menteri, ia dapat memberi peluang kepada rakyat membuat perbandingan antara kerajaan BN dan pakatan pembangkang dalam membawa kemajuan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan pula berkata, selepas pilihan raya 2008, BN telah berusaha gigih untuk lebih mendekati rakyat berbanding pembangkang yang dilihat tidak menunaikan manifesto pilihan raya mereka.
Katanya, pentadbiran pembangkang yang mengecewakan di negeri-negeri dikuasai mereka telah membuka mata rakyat segala janji ditaburkan pakatan pembangkang tidak boleh dipercayai kerana ia penuh dengan dusta dan meraih kepentingan politik semata-mata.
"Pada pilihan raya lalu mereka memenangi beberapa negeri, namun sehingga kini rakyat negeri tadbiran mereka 'melopong' menantikan janji-janji sebelum pilihan raya pembangkang ditunaikan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, rakyat kini sudah boleh melihat perbezaan nyata antara pentadbiran kerajaan BN dan pembangkang dalam menjamin kebajikan mereka.
Beliau memberitahu, sikap pembangkang yang tidak menunaikan janji dengan memberi pelbagai alasan telah menjadi tumpuan penilaian rakyat.
"Secara jelas, pelbagai janji seperti pendidikan tadika percuma dan pengurangan cukai pintu di Selangor tak dapat dilaksanakan. Kalau peringkat negeri pun janji-janji tak boleh ditunai apatah lagi janji-janji besar dalam Buku Jingga mereka?
"Justeru, semasa membuat pemilihan ketika pilihan raya umum nanti, bolehlah rakyat nilai mereka dengan pencapaian dan bukan janji," tambahnya.

No comments:

Post a Comment