Sunday, June 17, 2012

Agihan nilai saham dibuat secara adil


KUALA TERENGGANU 10 Jun - Kerajaan menyangkal dakwaan pembangkang kononnya pengagihan nilai saham kepada peneroka dan staf Felda ekoran penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGV) tidak dibuat secara adil dan sama rata.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, ia sudah diperincikan sebaik mungkin bagi memastikan seluruh warga Felda berpeluang menikmati pelbagai manfaat daripada saham itu termasuk memperoleh dividen tahunan.
Beliau menjelaskan, ada beberapa faktor yang menyebabkan berlaku ketidaksamaan nilai saham antara kedua-dua belah pihak iaitu faktor jumlah peneroka yang jauh lebih ramai iaitu 112,635 orang berbanding 23,000 kakitangan Felda.
"Sebenarnya jumlah peneroka ramai iaitu 112,635 orang manakala staf pula 23,000 orang dengan masing-masing diberikan 2.5 peratus saham terbitan penawaran runcit.
"Jadi dengan sendirinya 2.5 peratus yang dibahagikan kepada 112,635 peneroka tentu nilainya lebih rendah berbanding 2.5 peratus yang dibahagi untuk 23,000 staf Felda," katanya .
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah Gagasan 1Malaysia pada Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia Peringkat Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Ahmad berkata, para peneroka juga sebenarnya bakal menikmati dividen pada setiap tahun sedangkan staf tidak menerima manfaat tersebut.
"Nilai sebenar peneroka dapat ialah 22.5 peratus kerana dividen 20 peratus akan masuk dalam tabung amanah sedangkan staf Felda tidak mendapat 20 peratus itu," katanya.
Beliau turut menempelak pembangkang yang hanya tahu mencari salah terhadap apa juga yang dilaksanakan kerajaan demi kepentingan politik sempit mereka.
"Kakitangan juga tidak mendapat tanah kebun dan khairat kematian seperti yang dinikmati peneroka, tambahan pula tanah kebun ladang yang disenarai itu adalah kebun Felda yang diuruskan kakitangan terbabit," katanya.

No comments:

Post a Comment