Friday, June 29, 2012

Durian runtuh hargai sumbangan peneroka Felda terhadap kemajuan sosioekonomi



KUALA LUMPUR 27 Jun - Pemberian durian runtuh kepada peneroka Felda merupakan satu bentuk penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan berkenaan kepada pembangunan sosioekonomi negara di dalam sektor pertanian sejak 50 tahun lepas.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, menerusi sumbangan besar peneroka Felda, Malaysia berjaya meletakkan namanya sebagai negara pengeluar utama produk hasil sawit dan getah di dunia.
"Pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka adalah asas yang adil dan saksama tanpa mengira status sosial atau kewangan mereka.
"Tambahan pula, pembayaran duit durian runtuh akan dibiayai dengan menggunakan dana dalaman Felda serta hasil dana daripada penyenaraian FGVH (Felda Global Ventures Holdings), tanpa melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF)," katanya dalam jawapan bertulis kepadaDatuk Kamarul Baharin Abbas (PKR- Teluk Kemang) di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Mohd. Nasir Zakaria (Pas- Padang Terap), Ahmad memberitahu, status terkini Pengurus Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab adalah bercuti untuk mengikuti kursus pengurusan Diploma in Strategy and Innovation di University of Oxford, Executive Educatioan Centre, United Kingdom.
"Beliau cuti berkursus mulai 1 Februari hingga 1 September 2012. Beliau mula bercuti pada 17 Januari lalu untuk membuat persediaan awal sebelum menyambung pengajian. Namun begitu, sebelum cuti belajar, beliau terlibat secara langsung dalam proses penyenaraian FGVH," katanya.
Dalam jawapan bertulis kepada Azmin Ali (PKR-Gombak), Ahmad menjelaskan, jawatan Pengerusi Felda merupakan pelantikan secara kontrak di bawah Seksyen 15(2)(a) Akta Kemajuan Tanah 1956 dan ia bukan merupakan pelantikan sebagai penjawat awam.
"Pelantikan Pengerusi Felda dilulus dan diperakukan oleh Menteri yang bertanggungjawab terhadap Felda. Tempoh pelantikan adalah untuk tiga tahun dan boleh disambung oleh Menteri," katanya.

No comments:

Post a Comment