Wednesday, June 27, 2012

Insentif FGVH guna dana, wang imbuhan



KUALA LUMPUR: Pembayaran durian runtuh RM15,000 kepada warga FELDA dibiayai menggunakan dana dalaman dan wang imbuhan yang diterima melalui penjualan saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH). 


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata pembayaran fasa pertama sebanyak RM5,000 yang dibiayai FELDA menggunakan dana dalaman selesai Mei lalu.
“Baki pembayaran fasa seterusnya akan menggunakan wang imbuhan yang diterima daripada penjualan saham FGVH. Ia mula dibayar Julai 2012,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohd Nasir Zakaria (PAS-Padang Terap) yang diedarkan kepada media di Dewan Rakyat, semalam. Dalam soalannya, Mohd Nasir bertanya dari sumber mana kerajaan membayar RM15,000 kepada peneroka Felda sedangkan penyenaraian FGVH belum dilaksanakan. Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan durian runtuh berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia. Pembayaran itu akan dilakukan dalam tiga fasa dengan fasa pertama berjumlah RM5,000 kepada ketua keluarga peneroka, fasa kedua membabitkan RM5,000 kepada isteri peneroka, manakala fasa ketiga pembayaran RM5,000 kepada generasi kedua FELDA. Sementara itu, dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Ahmad berkata, penasihat utama dan Penyelaras Global Bersama untuk penyenaraian FGVH ialah CIMB Investment Bank, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley & Co International. “Jenis bayaran kepada penasihat terbabit adalah yuran pembrokeran, yuran penempatan dan komisen Penyelaras Global Bersama. Kadar yuran dan komisen yang dibayar FGVH kepada penasihat terbabit adalah sejajar dengan kadar yang diguna pakai dalam Penawaran Awam Umum (IPO) tempatan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment