Saturday, June 30, 2012

Jalan baru ke SMK Sri Bandar dipertimbang


PONTIAN 28 Jun - Kerajaan akan menimbangkan permintaan kira-kira 2,500 penduduk Taman Megah supaya jalan baru dibina ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Bandar yang kini sedang dalam pembinaan .

Penduduk meminta jalan baru memandangkan kini hanya ada satu jalan utama menuju Taman Megah dan keadaan tersebut bakal menimbulkan kesesakan apabila sekolah tersebut beroperasi pertengahan tahun 2013.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berjanji akan memanjangkan perkara tersebut kepada Pejabat Tanah Pontian, Majlis Daerah Pontian (MDP), Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah dan Pejabat Daerah Pontian supaya mengenal pasti jalan alternatif ke sekolah itu.
Pihaknya difahamkan terdapat kawasan rizab jalan bersebelahan sekolah tersebut menuju ke jalan besar Parit Semerah yang difikirkan sesuai untuk dibina jalan baru bagi memenuhi permintaan penduduk.
"Selain laluan masuk dan keluar menggunakan Taman Megah, satu jalan baru perlu dicari supaya tidak timbul sebarang masalah pada masa depan," katanya selepas meninjau kerja-kerja pembinaan SMK Seri Bandar di Taman Megah baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Msduki Shahri.
SMK Sri Bandar yang dibina dengan kos RM26 juta mengandungi lima blok tiga tingkat dengan 18 bilik darjah dan dijangka beroperasi dengan pengambilan seramai 700 pelajar tingkat satu hingga lima.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembinaan SMK Sri Bandar bertujuan mengatasi lebihan pelajar, terutama di SMK Dato' Ali Haji Ahmad serta SMK Sri Perhentian.
Selain itu, beliau berharap satu trek dapat dibina di sekolah tersebut bagi membolehkan acara olahraga dijalankan mengikut keperluan.
"Ketiadaan trek ini telah menyebabkan prestasi atlet olahraga sekolah-sekolah kurang mencapai kejayaan berbanding daerah lain yang telah mempunyai kemudahan seumpama itu," katanya sambil berharap pihak yang berkaitan dapat memberi peruntukan tambahan untuk tujuan berkenaan.

No comments:

Post a Comment