Sunday, June 10, 2012

Lokasi baru GR1M di Pontian



Ahmad Maslan (tengah) bersama orang ramai di hadapan Gerai Rakyat 1Malaysia di Kampung Parit Haji Dahlan, Api-Api, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 7 Jun - Beberapa lokasi Gerai Rakyat 1Malaysia (GR1M) di daerah ini telah dikenal pasti dalam usaha melahirkan lebih ramai peniaga dan usahawan kecil ekoran kejayaan lima buah GR1M fasa pertama.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, usaha sedang dilakukan bagi menjalin kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah agar turut sama menjayakan transformasi pembangunan ekonomi bagi masyarakat kampung.
"Kewujudan GR1M diharap dapat mencetuskan gelombang baru supaya masyarakat luar bandar turut sama menjayakan transformasi ekonomi seperti yang dijalankan kerajaan.
"Ia diwujudkan dengan konsep pembinaan gerai yang disewakan kepada usahawan dan peniaga bumiputera berbanding Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat," katanya ketika merasmikan GR1M bagi Mukim Api-Api di Kampung Parit Haji Dahlan, di sini baru-baru ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, GR1M Parlimen Pontian diharap menjadi contoh kepada mana-mana agensi yang berminat melahirkan usahawan kecil melalui kos pembinaan yang rendah berbanding sebuah bangunan, carian tapak niaga yang selesa dan lokasi strategik.
Katanya lagi, sewa serendah RM100 sebulan mungkin tidak dapat diperoleh di tempat lain sekali gus mengurangkan kos perbelanjaan, namun peniaga perlu memastikan kualiti barangan yang dijual adalah bermutu walaupun pada harga rendah di samping sentiasa menjaga nama baik GR1M.
Sementara itu, bagi seorang penyewa GR1M, Saadon Sakiman, 56, yang mengusahakan kedai gunting rambut dan jahitan bersama isterinya bersyukur kerana impian memiliki kedai sendiri akhirnya tercapai.
"Sebelum ini kerja-kerja menggunting rambut dan menjahit dilakukan di rumah.
"Tetapi, dengan pembukaan GR1M di Mukim Api-Api ini, akan memudahkan orang ramai atau pelanggan yang ingin berurusan dengan kami datang terus ke kedai kami," katanya.

No comments:

Post a Comment