Monday, June 11, 2012

Pengagihan saham FGVH adil’




KUALA TERENGGANU: Kakitangan FELDA diberi 2.5 peratus saham FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGVH), selepas kerajaan mengambil kira pelbagai kelebihan dan manfaat yang sudah diterima peneroka selama ini tetapi tidak dinikmati kakitangan. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kakitangan dan peneroka FELDA masing-masing menerima saham jumlah yang sama, namun disebabkan bilangan peneroka lebih ramai berbanding kakitangan, agihan saham yang diterima peneroka kelihatan lebih kecil berbanding kakitangan.
“Kita mempunyai 112,635 peneroka di seluruh negara manakala bilangan kakitangan hanya 23,000 orang,” katanya selepas berucap pada Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di Wisma Darul Iman di sini, semalam. Seramai 2,500 peserta menghadiri seminar itu yang perasmiannya disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar yang mendedahkan terdapat golongan peneroka yang tidak berpuas hati dengan agihan saham yang didakwa berat sebelah oleh FELDA kepada kakitangan. Pemberian 800 unit saham FGVH kepada peneroka dikatakan agak kecil dan peneroka mahu FELDA menambah sebanyak 200 unit bagi menjadikannya 1,000 unit saham. Ahmad berkata, beliau akan membentangkan penjelasan mengenai pemberian saham berkenaan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Katanya, peneroka mempunyai banyak kelebihan lain berbanding kakitangan FELDA termasuk akan memperoleh dividen setiap tahun daripada Tabung Amanah FELDA yang memiliki 20 peratus ekuiti FGVH. “Ini bermakna peneroka akan menerima 22.5 peratus (saham) tetapi kakitangan tidak dapat 20 peratus itu. “Kakitangan juga tidak mendapat tanah kebun dan khairat kematian seperti yang dinikmati peneroka, tambahan pula tanah kebun ladang yang disenarai itu adalah kebun FELDA yang diuruskan kakitangan terbabit,” katanya. Ahmad berkata, seminar berkenaan diadakan di setiap negeri dan akan berakhir pada Julai ini, yang mana golongan sasarannya ialah kakitangan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) serta belia. Sementara itu, pada majlis penutupan Futsal anjuran Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS) di ibu negara, Ahmad berkata, badan bukan kerajaan (NGO) terutama pertubuhan belia perlu melipatgandakan usaha menganjurkan aktiviti sihat seperti sukan bagi menarik sokongan orang muda kepada kerajaan. Katanya, dengan pelaksanaan aktiviti seumpama itu kecenderungan serta minat generasi muda untuk bersama kerajaan dapat dicapai terutama dalam menongkah arus perubahan negara ke arah lebih baik pada masa depan.

No comments:

Post a Comment