Saturday, June 30, 2012

Pengundi pos untuk anak kapal kabin penerbangan


BANGI 29 Jun - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kabin Malaysia (NUFAM) menuntut kerajaan supaya anak kapal kabin penerbangan Malaysia iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Fire Fly diberi peluang menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pos atau pengundi awal pada pilihan raya umum ke-13.
Presiden kesatuan itu, Ismail Nasaruddin Abd Wahab mendakwa terdapat 5,000 anak kapal kabin penerbangan yang tidak dapat mengundi disebabkan terpaksa menjalankan tugas atau berada di luar negara pada hari mengundi dalam pilihan raya lepas.
Katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan permohonan mereka dengan memasukkan kumpulan itu dalam kategori pengundi pos atau pengundi awal, bagi memastikan mereka turut menunaikan tanggungjawab mengundi dalam memilih kerajaan.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di sini semalam.
Sesi dialog bertemakan "Menuju Hak dan Kemajuan Anak-anak Kapal Kabin Penerbangan di Bawah Gagasan 1Malaysia" turut mengetengahkan beberapa masalah yang dihadapi pekerja dalam industri penerbangan, antaranya peningkatan gaji, hak dan masa depan anak kapal kabin penerbangan, isu persaraan, hak pekerja wanita dan bantuan keluarga untuk pekerja ibu tunggal yang bekerja sebagai anak kapal kabin penerbangan.
Ahmad, yang menerima memorandum bagi pihak kerajaan, berjanji akan membawa perkara itu untuk perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sesi dialog itu turut dihadiri Anggota Parlimen Pengerang, Johor Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Presiden Gabungan NGO Malaysia Datin Reny Rahayu Ishak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment