Monday, June 11, 2012

Penyenaraian FGVH Beri Keuntungan Kepada Rakyat – Ahmad Maslan


KUALA LUMPUR, 11 Jun – Keuntungan yang diperoleh daripada Felda Global Ventures Holdings (FGVH) juga boleh dinikmati orang ramai memandangkan penyenaraian syarikat itu turut melibatkan kerajaan negeri dan pelabur institusi, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata menurut data terkini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji masing-masing mempunyai 10.85 juta dan tujuh juta pencarum, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai 13.15 juta anggota dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) mempunyai 140,000 anggota. Mereka adalah antara pelabur institusi dalam FGVH.
“Ini bermaksud dividen kemakmuran Felda dikongsi dengan rakyat terbanyak. Tidak pernah saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia dibahagikan kepada sebegitu ramai rakyat Malaysia,” katanya pada sesi soal-jawab.
Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Rahman Manan (BN-Paya Besar) yang ingin tahu faktor yang membolehkan FGVH menghasilkan dana apabila disenaraikan di Bursa Malaysia.
Ahmad berkata dalam meningkatkan keupayaan hiliran, FGVH bercadang menubuhkan perkongsian usaha niaga strategik dengan syarikat gergasi komoditi, Louis Dreyfus Commodities (LDC) dan keputusan itu dibuat setelah melakukan kajian teliti serta mengambil kira semua faktor keupayaan komersil dan sosial.
Beliau berkata memorandum persefahaman telah dibuat dengan LDC pada 14 Mei lepas bagi tujuan usaha sama perdagangan dan pemasaran, termasuk perjanjian komersil bagi mewujudkan rangka kerja antara kedua-dua syarikat dalam meneroka peluang pelaburan kegiatan hiliran berhubung minyak sawit dengan tumpuan kepada negara China dan India.
Menjawab soalan tambahan Datuk Saifudin Nasution Ismail (PKR-Machang) berhubung pengurusan tanah rizab Melayu yang termasuk dalam tanah pajakan daripada Felda Plantation kepada FGVH, Ahmad berkata kerajaan telah merujuk kepada pakar perundangan dalam menguruskan tanah rizab itu.
Katanya pengurusan 34,968 hektar tanah rizab Melayu daripada 355,000 hektar tanah yang dipajak itu tidak dilakukan secara semberono.
“Semasa kita gagal menyenaraikan Felda pada tahun 2003 dan 2004, itu kerana kita tak jumpa formula jangka panjang yang baik. Sekarang tanah itu tidak hilang, tapi kita sewakan. Kerisauan (pembangkang) tentang tanah itu tidak berasas,” katanya.
Menjawab soalan tambahan anggota sama mengenai jaminan tanah yang digazet untuk kegunaan bukan perladangan tidak digunakan untuk tujuan lain, Ahmad berkata : “Tanah yang digazet untuk kemudahan awam memang tidak akan disentuh.”

No comments:

Post a Comment