Friday, June 22, 2012

Saham FGVH: Peneroka tidak pernah dipaksa tandatangani


KUALA LUMPUR 21 Jun - Peneroka Felda tidak pernah dipaksa untuk menandatangani borang pembiayaan kewangan bagi membeli saham Felda Global Ventures Holdings (FGV), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, sesi penerangan dijalankan di setiap pejabat rancangan Felda mulai 24 April 2012 berkenaan proses langganan saham FGV, keperluan, kelebihan, risiko serta terma-terma pembiayaan kewangan yang diperinci oleh setiap wakil bank yang dilantik.
Ahmad berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) yang bertanya mengapa peneroka seolah-olah dipaksa menandatangani borang berkenaan, yang kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris dan kurang difahami oleh peneroka.
Menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Pendang) mengenai sumber dana untuk pemberian durian runtuh kepada peneroka, Ahmad berkata, bagi fasa pertama pembayaran duit durian runtuh itu dibiayai oleh Felda dengan menggunakan dana dalaman sementara menerima imbuhan melalui penjualan saham di FGV yang perlu disalur kepada Felda selewatnya akhir bulan depan.
"Pembayaran bagi fasa kedua dan ketiga pula menggunakan wang imbuhan yang akan diterima daripada FGV yang dijangka akan mula dibayar pada Julai 2012.
"Pembayaran bagi fasa pertama sebanyak RM5,000 telah pun selesai dibayar pada Mei lepas. Secara keseluruhannya, Felda memperuntukkan RM1.69 bilion bagi tujuan pemberian durian runtuh ini," katanya dalam jawapan bertulis itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment