Sunday, June 17, 2012

Tuan Ibrahim digesa segera minta maaf


KUALA LUMPUR 12 Jun - Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man digesa menarik balik kenyataannya yang meminta ahli-ahli Pas yang terlibat secara langsung dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 supaya menangguhkan pemergian mereka ke Tanah Suci.

Malah, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan turut mendesak Tuan Ibrahim dan Pas agar segera memohon maaf kerana jelas permintaan tersebut tidak wajar serta tidak adil khususnya kepada bakal jemaah haji terlibat.
Beliau berkata, mengerjakan ibadah haji merupakan Rukun Islam kelima dan wajib ditunaikan kepada mereka yang mampu, justeru tidak sepatutnya Pas mengeluarkan permintaan seperti itu hanya semata-mata disebabkan pilihan raya umum.
"UMNO kesal dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Tuan Ibrahim berhubung perkara ini. Ini soal ibadah dan tidak seharusnya dikaitkan dengan pilihan raya.
"Tambahan pula kita tidak tahu bila tarikh pilihan raya sebenar. Saya minta Tuan Ibrahim tarik balik kenyataannya ini dan membuat permohonan maaf. Permintaan ini benar-benar tidak adil kepada bakal jemaah yang terbabit kerana bukan mudah seseorang itu terpilih sebagai jemaah haji," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan ceramah pada Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau mengulas berita disiarkan oleh portal propembangkang, selangorku.com bertarikh 5 Jun lalu, dipetik http://www.rbfonline.net semalam yang meminta semua ahli Pas yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya menangguh ibadah haji bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum.
Ahmad berkata, tindakan terbaru Pas itu jelas memperlihatkan sifat sebenar parti itu yang sanggup melakukan apa sahaja, termasuk meletakkan kepentingan pilihan raya lebih tinggi daripada agama demi politik.
"Mustahil pemimpin Pas tidak tahu betapa sukarnya seseorang itu boleh dipilih untuk mengerjakan haji. Bagi saya arahan yang dikeluarkan ini merupakan pandangan yang amat silap.
"Walau apa keadaan sekali pun kepentingan menunaikan ibadah perlu menjadi keutamaan,'' katanya lagi.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika mengulas isu sama, menyifatkan permintaan Pas itu terhadap ahli-ahlinya yang terpilih sebagai jemaah haji pada tahun ini sebagai tidak wajar.
Beliau berkata, walau apa yang berlaku keutamaan menunaikan Rukun Islam kelima itu perlu didahulukan dan bukannya pilihan raya.
"Bagi saya tidak sepatutnya Pas mengeluarkan arahan seperti ini memandangkan bukan mudah umat Islam di negara ini diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji.
"Pada masa ini 900,000 umat Islam di Malaysia dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji dan kuota untuk jemaah kita setiap tahun cuma 28,000 sahaja. Mereka terpaksa menunggu 20 hingga 30 tahun untuk tunaikan haji. Sememangnya permintaan seumpama ini tidak wajar,'' katanya.

No comments:

Post a Comment