Wednesday, June 27, 2012

UMNO Proaktif Dekati Rakyat, Bantu Golongan Gelandangan


KUALA LUMPUR, 26 Jun – UMNO sentiasa berusaha mendekati masyarakat dalam pelbagai cara khususnya turun padang dan memberi bantuan sama ada dalam bentuk penerangan, memahami permasalahan dan meringankan beban rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
“Kita tak tunggu orang datang kepada kita tapi kita datang kepada orang kerana kita melaksanakan sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri iaitu turun padang dan mendekati orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra sempena Program ‘Food For Life’ yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Malaysia menerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
“Pelbagai rakyat dari pelbagai tempat berpusat di sini dan Jalan Majid India ini adalah antara pusat tumpuan di Kuala Lumpur yang mana ia menjadi lokasi SHEB yang dilaksanakan setiap minggu selama 120 minggu tanpa gagal sejak dilancarkan pada awal 2010,” katanya.
Jelasnya, SHEB mengambil inisiatif dengan memberi makan secara percuma kepada golongan gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal pada setiap hari Selasa di perkarangan Masjid India.
Turut serta dalam program tersebut ialah Pengerusi SHEB, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin yang memaklumkan bahawa program seumpama ini bertujuan untuk membantu golongan kurang bernasib baik terutama penghijrah baru yang datang ke Ibu Kota untuk mencari peluang pekerjaaan tetapi akhirnya terpaksa hidup dalam gelandangan.
“Ini adalah usaha-usaha berterusan dan kita telah membawanya ke bandar-bandar besar di seluruh negara misalnya di Pulau Pinang, Perak dan Johor Bahru tetapi ia tidak cukup besar sebagaimana di Kuala Lumpur,” katanya.
Selain dari memberi makanan percuma SHEB juga menyediakan kaunter pemeriksaan kesihatan percuma, kaunter semakan daftar pemilih (SPR) dan perkhidmatan penghantaran percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) ke hospital bagi menjalani kesihatan.
Dalam masa yang sama, SHEB juga telah membantu masyarakat termasuklah menghantar pulang sejumlah 2,745 orang ke pangkuan keluarga masing-masing selain sejumlah 4,320 orang telah mendapat pekerjaan hasil kerjasama daripada pihak SHEB. – MediaUMNO

No comments:

Post a Comment