Tuesday, July 3, 2012

170 pesilat gayong hadiri kursus adab silat


AHMAD Maslan (tujuh dari kanan) bersama sebahagian penerima anugerah Sandang Kebesaran Gayong yang membawa gelaran Mahkota Cula Pelangi dan Mahkota Relang Pelangi di Padang Awam Taman Puteri, Kulaijaya, semalam.

KULAIJAYA 1 Julai - Seramai 170 pesilat gayong termasuk yang berusia sembilan tahun menghadiri Majlis Ikatan Ukhuwah, Kursus Adab dan Adat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di Padang Awam Taman Puteri, Kulaijaya, di sini semalam.
Mereka terdiri daripada 82 pesilat gayong Kulaijaya, Kota Tinggi (30), Kluang (48) dan Pasir Gudang (10).
Pada majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan itu, sebanyak 10 anugerah Sandang Kebesaran Gayong yang membawa gelaran Mahkota Cula Pelangi dan Mahkota Relang Pelangi disampaikan.
Antara penerima anugerah tertinggi itu ialah Pegawai Penerangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tosrin Jarvanti.
Sementara itu, Ahmad berharap seni mempertahankan diri dikembangkan kepada generasi muda secara berterusan kerana ia turut mendidik pengamalnya mengutamakan disiplin.
Menurutnya, seni tersebut tidak boleh sesekali dipinggirkan oleh golongan muda walaupun zaman sudah beralih ke era teknologi maklumat (IT).
"Sekalipun berada pada era serba canggih, silat dan seni mempertahankan diri wajar diteruskan kerana ia adalah warisan berharga.
"Silat merupakan pertahanan negara ketiga selepas tentera dan polis. Ia perlu diaplikasikan dengan sebaik mungkin," katanya.
Ia juga merupakan salah satu khazanah warisan bangsa yang mesti dipelihara dan dipertahankan kerana sejarah membuktikan ia merupakan salah satu senjata utama untuk membentuk perpaduan, katanya.
Turut hadir Yang Dipertua PSSGM Kebangsaan, Datuk Adiwijaya Abdullah dan Pengarah Program serta Jurulatih Tertinggi PSSGM Serantau, Mohd. Jazwan Kahar.

No comments:

Post a Comment