Monday, July 9, 2012

BN jaga kepentingan rakyat

NAJIB Tun Razak melambaikan tangan sewaktu merasmikan Menara Felda dan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan ke-56. Turut sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di Menara Felda, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berupaya menjana kekayaan negara dan menjaga kepentingan semua lapisan termasuk para peneroka Felda di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, ia terbukti menerusi kewujudan Menara Felda di segi tiga emas di ibu kota yang menunjukkan Felda kini di persada antarabangsa serta penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) di Bursa Malaysia baru-baru ini.
Menurut beliau, harga menara itu adalah RM700 juta manakala harga semasanya meningkat kepada RM965 juta dan ia merupakan keuntungan RM295 juta.
Katanya, kejayaan itu turut disumbang oleh keyakinan para peneroka terhadap kerajaan serta mereka tidak mudah tertipu dengan dakyah pembangkang yang disifatkan sebagai makhluk perosak, yang sentiasa mahu meracuni pemikiran peneroka.
"Penipuan paling utama pihak sebelah sana (pembangkang) ialah mereka kata Felda akan bankrap jika disenaraikan, tapi mana mungkin organisasi bankrap boleh disenaraikan di bursa saham.
"Dan apabila saya tanya pihak bank, mereka kata tidak ramai peneroka yang menjual saham (FGV) mereka dan itu menunjukkan para peneroka yakin dengan kerajaan," katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan Ke-56 dan Perasmian Menara Felda di sini hari ini.
Majlis yang buat pertama kali diadakan di ibu kota dan pada waktu malam itu dihadiri lebih 20,000 para peneroka dan ahli keluarga mereka dari seluruh negara.
Menara 50 tingkat bernilai RM700 juta yang diilhamkan daripada bentuk biji kelapa sawit itu terletak di Platinum Park, segi tiga emas yang bersebelahan dengan Bangunan Berkembar Petronas di ibu kota.
Perdana Menteri menambah, kerajaan dan BN juga mungkin akan menambah imbuhan kepada para peneroka pada masa akan datang, selain daripada RM15,000 yang diberikan kepada setiap keluarga peneroka seperti diumum baru-baru ini.
Menurut beliau, ini kerana Felda mempunyai dana terkumpul yang banyak serta boleh diagihkan pada bila-bila masa.
"Tetapi kita tunggu dulu, tengok sama ada tuan-tuan dan puan-puan baik kepada kita," katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri memuji golongan peneroka yang tabah menghadapi cabaran dalam menjayakan rancangan masing-masing sehingga ke tahap sekarang.
"Ada peneroka yang lari sebab tidak tahan dengan cabaran binatang buas dan sebagainya sewaktu pembukaan tanah rancangan 50 tahun lalu tetapi kini menyesal apabila melihat kejayaan kita," katanya.

No comments:

Post a Comment