Monday, July 30, 2012

Ibu tunggal gembira terima hadiah raya


SIK 29 Julai - Seorang ibu tunggal, Kamaliah Ahmad, 50, menyifatkan sumbangan Felda bagi membaiki rumahnya sebagai hadiah Aidilfitri yang bakal mengubah kehidupan keluarganya.

Tambah bermakna buat Kamaliah apabila rumahnya di Kampung Teloi Tua di sini, turut menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Kamaliah berkata, dia amat bersyukur dengan pemberian bantuan daripada Felda untuk membaiki rumahnya dengan kos RM5,000 yang daif dan telah diduduki sejak 28 tahun lalu.
"Terima kasih banyak-banyak apatah lagi sumbangan ini diterima pada Ramadan dan boleh dikatakan hadiah hari raya, maka bolehlah kami beraya dengan rumah yang lebih selesa," kata ibu kepada lima anak itu ketika ditemui di rumahnya.
Kunjungan tersebut turut disertai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Timbalannya, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung; Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Tajudin Abdullah.
Kamaliah berkata, dia tidak menyangka pemimpin nombor satu negara itu sudi bertandang ke rumahnya dan ia merupakan saat yang istimewa dalam hidupnya.
"Selalu tengok beliau dalam televisyen tetapi hari ini dapat bersemuka, memang kami amat seronok," katanya yang menjual kuih-muih untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

No comments:

Post a Comment