Tuesday, July 24, 2012

Jangan halang pembangunan


PONTIAN 18 Julai - Orang ramai diminta memberi kerjasama dan tidak menghalang sesuatu projek pembangunan yang mahu dijalankan supaya ia dapat dibina mengikut tempoh yang ditetapkan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekiranya sesuatu projek itu lewat disiapkan, dikhuatiri kosnya akan meningkat dan menambah beban kewangan kerajaan.
Menurutnya, projek kemudahan awam seperti sekolah, masjid, surau dan pusat kesihatan dibina bagi manfaat serta faedah orang ramai dan sekiranya timbul masalah seperti kerosakan jalan disebabkan penggunaan kenderaan berat, ia hanya bersifat sementara dan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan setelah projek tersebut siap.
"Kerosakan jalan atau masalah lain adalah bersifat sementara dan peluang wajar diberikan kepada kontraktor bagi melaksanakan kerja tersebut dengan segera tanpa sebarang halangan," katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan Sekolah Agama Seri Semangat yang menelan kos RM1.8 juta di Kampung Parit Stan, Benut di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Agama Daerah Pontian, Abu Sani Kalam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sebelum ini ada pihak yang sengaja cuba menghalang sesuatu projek dilaksanakan demi kepentingan politik tanpa mengambil kira keperluan penduduk.
"Peluang juga perlu diberikan kepada masyarakat di luar bandar yang juga mahu keperluan setaraf dengan apa yang dinikmati di bandar atau di tempat-tempat yang lebih awal menerimanya," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta pihak kontraktor supaya peka dan mengambil langkah menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan pentadbiran mukim.
Mengenai pembinaan Sekolah Agama Seri Semangat, ia merupakan sebahagian daripada 14 projek sekolah agama di daerah Pontian yang mula dibina pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

No comments:

Post a Comment