Tuesday, July 24, 2012

Puak sederhana mesti bersuara



KUCHING 18 Julai - Sudah tiba masanya untuk golongan sederhana yang sebenarnya membentuk kelompok majoriti di negara ini bersuara bagi mengenepikan puak yang ekstrem khususnya dalam bidang politik.
Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Tan Sri Adenan Satem berkata, puak yang ekstrem di negara ini tidaklah kuat, cuma mereka lebih banyak membuat 'bising' sekali gus membentuk persepsi bahawa mereka adalah ramai.
Tegasnya, tiada apa lagi yang perlu ditunggu oleh golongan sederhana untuk bertindak kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memimpin gerakan kesederhanaan di peringkat global.
"Majoriti rakyat Malaysia adalah sederhana dalam sikap dan pendirian tetapi mereka adalah majoriti dalam senyap. Masalahnya, mereka ini terlalu berdiam diri.
"Sekarang sudah tiba masanya untuk kumpulan sederhana ini bersuara bagi mengetepikan puak yang ekstrem, majoriti yang senyap ini tidak boleh lagi berdiam diri malah Perdana Menteri telah menunjukkan kepimpinannya," kata beliau.
Adenan berkata demikian sewaktu merasmikan majlis Penutupan Seminar Pemahaman Kesederhanaan (Wasatiyah) dan 1Malaysia yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, di sini petang semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Adenan berkata, kesederhanaan juga perlu diamalkan dalam politik antaranya dengan menerapkan elemen hormat menghormati.
Menurut beliau, cara berpolitik mencerminkan budaya, amalan dan masyarakat yang diwakili oleh seseorang tokoh itu.
"Maka ketepikan pihak pelampau, pinggirkan mereka supaya golongan itu jadi terasing," katanya.

No comments:

Post a Comment