Monday, July 30, 2012

RM4.25j diperuntuk bayar bonus


Mohd. Ali Rustam (depan, enam dari kiri) dan Ahmad Maslan (tujuh dari kiri) bersama pelajar mengibarkan Jalur Gemilang pada Majlis Mesra Pemimpin Bersama Mahasiswa IPTA dan IPTS negeri Melaka di Kolej KUIM, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, kelmarin.

ALOR GAJAH 27 Julai - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.25 juta untuk membayar bonus kepada kira-kira 4,179 kakitangannya sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, semua kakitangan dalam pelbagai sektor di negeri ini akan diberi setengah bulan gaji atau bayaran minimum sebanyak RM500.
Menurutnya, langkah itu diambil selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lalu yang mengumumkan pemberian bonus Aidil Fitri kepada 1.27 juta penjawat awam dan 657,000 pesara.
''Saya harap dengan dengan pemberian bonus ini ia akan dapat membantu penjawat awam membuat persiapan menyambut Aidil Fitri seperti membeli barang keperluan dan sebagainya.
''Pemberian bonus ini membuktikan sikap prihatin kerajaan negeri dan Pusat terhadap seluruh penjawat awam dan mereka sewajarnya menghargai langkah itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Pemimpin Bersama Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) negeri Melaka di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Yaakub Md. Amin dan Naib Canselor KUIM, Prof. Emeritus, Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hashim.
Kira-kira 500 mahasiswa daripada 10 IPTA di negeri ini menghadiri majlis tersebut.
Mohd. Ali turut mengingatkan penjawat awam agar menggunakan pemberian wang bonus tersebut untuk berbelanja secara berhemah.

No comments:

Post a Comment