Tuesday, July 3, 2012

Saham FGV mampu melonjak lebih tinggi


KUALA LUMPUR 29 Jun - Kerajaan yakin dengan sentimen pasaran terbuka yang baik ketika ini akan melonjakkan lagi saham Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kejayaan FGV mencatatkan kenaikan premium 84 sen pada dagangan saham FGV semalam merupakan satu kejayaan besar bagi syarikat perladangan itu ketika pasaran saham lain adalah suram.
"Kejayaan ini memberi faedah kepada peneroka dan generasinya dan yang penting kepada negara.
"Perjuangan dalam arena perniagaan yang terbuka semalam juga bermakna lebih 19,000 kakitangan Felda perlu tingkatkan profesionalisme kerana kita sekarang berdepan dengan pasaran terbuka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia semalam yang mencatatkan kenaikan premium sebanyak 19 peratus berbanding harga tawaran RM4.55 sesaham dan pada harga RM5.30 pada penutup dagangan.
Ahmad berkata, ekoran daripada kejayaan penyenaraian FGV itu, banyak lagi perkara menarik akan berlaku di dalam Felda yang bakal memberi keuntungan kepada warga peneroka dan para pelabur dalam syarikat itu.
"Contohnya pada 7 Julai ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka membuat beberapa pengumuman menarik mengenai aktiviti Felda pada Hari Peneroka. Kita tunggulah.
"Selain itu, Felda juga akan mula mencari kawasan baru di Afrika yang sesuai untuk ditambah sebagai bank tanah kita. Setiap perkara baik yang akan diumumkan nanti akan memberi keyakinan kepada pelabur kita," katanya.
Ahmad berkata, kejayaan penyenaraian FGV itu adalah juga melambangkan syarikat tersebut berkongsi kemakmuran keuntungan bukan sahaja dengan peneroka malah seluruh Malaysia.
"Lebih penting adalah peneroka menerima faedah besar daripada usaha ini. Kalau ada tuduhan yang kata Felda beri sikit sangat saham kepada peneroka, itu tidak benar," katanya.

No comments:

Post a Comment