Tuesday, July 24, 2012

Seminar Pemahaman Wasatiyyah akan diperluaskan


AHMAD Maslan menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zahri Jamil (dua dari kanan) selepas perasmian Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia Peringkat Negeri Johor di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor,


JOHOR BAHRU 19 Julai - Kerajaan akan mengkaji cadangan memperluaskan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia ke pelbagai peringkat termasuk di kementerian, institusi pengajian tinggi (IPT) dan daerah pada masa akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, selepas berjaya melaksanakannya di seluruh negara pihaknya menerima cadangan menganjurkannya dengan lebih luas bagi membantu meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap konsep kesederhanaan.
"Kita ada menerima cadangan untuk program ini dibawa ke peringkat daerah serta di peringkat kementerian dan IPT. Saya akan meneliti cadangan ini.
"Saya akan berbincang dengan Biro Tatanegara mengenai perkara ini kerana sebelum ini, mereka sudah mengadakan seminar 1Malaysia di peringkat daerah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup seminar tersebut di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.
Ahmad berkata, seminar yang dianjurkan kali ini lebih memberikan fokus kepada golongan penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat dan orang awam.
Tambahnya, sejak dilaksanakan pada Jun lalu di Kedah, lebih 30,000 peserta menghadiri seminar berkenaan dan lebih membanggakan ia turut mendapat sambutan masyarakat bukan bumiputera.
"Seminar kali ini kurang penyertaan daripada siasah politik kerana sebelum ini kita sudah adakan program penerangan perdana untuk mereka.
"Pada masa sama, kita berharap konsep ini akan dijadikan amalan oleh rakyat Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment