Tuesday, July 24, 2012

Taksub boleh cetus keganasan




JOHOR BAHRU 20 Julai - Sikap taksub sesetengah golongan dalam memperjuangkan agenda sempit hanya mengundang kepada keganasan dan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, ketaksuban melulu sering menjadikan golongan itu menolak mentah-mentah pandangan orang lain dan beranggapan semua perkara yang disampaikan tidak benar.
Beliau berkata, sikap ekstrem seperti itu juga akan membuatkan mereka hilang pertimbangan dan menjadi tidak rasional.
"Sikap ini hanya menjurus kepada tindakan melampau seperti rusuhan jalanan yang akhirnya bukan sahaja memecah-belahkan masyarakat malah menyebabkan kemusnahan harta benda.
"Sebagai masyarakat yang peka dengan perkembangan dunia, kita tentu memahami keganasan yang meletus di negara-negara tertentu kebanyakannya disebabkan puak-puak pelampau yang memperjuangkan agenda sempit mereka," katanya.
Beliau berucap menutup Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia di Dewan Besar, Pusat Islam Iskandar, di sini semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Sementara itu, Abdul Ghani berkata, konsep wasatiyyah atau bersederhana bertepatan dengan konsep gagasan 1Malaysia yang mahu melahirkan masyarakat seimbang atau sederhana berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, konsep kesederhanaan itu boleh menjadi kekuatan yang sangat berkesan apabila dijalin bersama ketegasan dan diperkukuhkan dengan jati diri serta integriti yang tinggi.
"Kita mungkin tidak sedar kesederhanaan ini merupakan kunci kepada kemakmuran dan kerukunan hidup rakyat berbilang kaum di negara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment