Monday, July 9, 2012

Tidak mustahil BN menang majoriti dua pertiga pada PRU13



KUALA LUMPUR - Tiada istilah 'mustahil' untuk Barisan Nasional (BN) serta Umno memenangi pilihan raya umum akan datang dengan jumlah kerusi dua pertiga di Parlimen kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.
   Beliau berkata kalau dalam pilihan raya lepas BN serta Umno sendiri tidak menyangka Selangor dan Pulau Pinang boleh jatuh ke tangan pembangkang sehingga ia benar-benar terjadi.   "Dalam politik tidak wujud istilah mustahil kerana dahulu kita (Umno) sendiri tidak menyangka Selangor dan Pulau Pinang akan bertukar tangan.   "Oleh sebab itu tidak mustahil untuk kita memasang hajat mendapatkan semula negeri-negeri yang telah kita pinjamkan kepada pembangkang dengan memenangi pilihan raya akan datang dengan keputusan lebih cemerlang," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara 2012 di Kelab Ekuestrian Bukit Kiara, hari ini.   Turut hadir Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Utara, Datuk Ikhwan Salim Sujak dan Ketua Pemuda Bahagian Petaling Jaya Utara, Latt Shahrizan Abdullah. Ditanya hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersara daripada politik sekiranya pembangkang tidak mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Ahmad berkata tindakan itu hanyalah sekadar gimik politik semata-mata.   "Hasrat Anwar untuk bersara hanya gimik politik bagi memancing undi golongan pengundi 'atas pagar'," katanya.   Sementara itu, dalam satu majlis berasingan Ketua Umno Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahterana Bandar menyifatkan tindakan Anwar sebagai 'old fashion politic' untuk meraih simpati rakyat.   "Anwar hanya gunakan 'old fashion politic' untuk mendapatkan sokongan rakyat dan jika dia benar ingin berkhidmat untuk rakyat tidak semestinya beliau perlu memegang kuasa atau tampuk pemerintahan negara," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Umno Bahagian Titiwangsa di sini.   Pada 3 Julai lepas, Financial Times memetik Anwar sebagai berkata bahawa beliau akan bersara daripada politik sekiranya pembangkang tidak mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

No comments:

Post a Comment