Tuesday, July 24, 2012

Warga miskin terima bantuan Ramadan


AHMAD Maslan (tiga dari kanan) dan Noraini Sulaiman (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan sempena Ramadan 2012 di Masjid Jamek Kampung Api-Api, Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 21 Julai - Seramai 1,770 golongan miskin termasuk ibu tunggal menerima bantuan sempena Ramadan daripada Pejabat Ahli Parlimen Pontian di dua lokasi berasingan, di sini baru-baru ini.
Penerima yang layak berdasarkan maklumat yang diberikan pimpinan UMNO cawangan di kawasan Parlimen berkenaan.
Sempena majlis penyampaian bantuan kepada golongan tersebut, agihan sumbangan turut diberikan kepada 51 masjid dan 120 surau di seluruh kawasan Parlimen bagi kegunaan sepanjang Ramadan ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan isterinya, Datin Noraini Sulaiman di Masjid Jamek Kampung Api-Api dan Kampung Parit Tengah, di sini.
Ahmad dalam ucapan ringkasnya berharap sumbangan itu mampu meringankan beban yang ditanggung oleh golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, sumbangan kali ini diberikan lebih awal memandangkan beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO agak sibuk menjelajah ke seluruh bahagian UMNO di seluruh negara.
Menurutnya, bantuan tersebut merupakan tanda ingatan pihaknya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan pihak masjid serta surau yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan ummah di kariah masing-masing.
"Masjid dan surau perlu terus diimarahkan dengan aktiviti bagi meningkatkan lagi ketakwaan umat Islam dengan penganjuran program seperti tadarus al-Quran, qiamullail, tazkirah dan sebagainya," katanya.

No comments:

Post a Comment