Monday, August 6, 2012

BN Sabah ada calon sesuai ganti wakil keluar parti: Ahmad Maslan


KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mempunyai calon berwibawa untuk mengisi slot yang dikosongkan ahli parlimennya yang bertindak keluar parti.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata BN Sabah juga tidak akan hancur dengan tindakan wakil rakyat terbabit.

"Ahli parlimen (BN) yang keluar baru empat, sedangkan Yang Berhormat pembangkang sudah keluar 13 iaitu enam dari PKR (Parti Keadilan Rakyat), lima ahli dewan undangan negeri PKR jadi BEBAS, satu dari DAP dan satu dari PAS keluar (parti) dalam penggal ini.

"Kalau mereka kata BN hancur, mereka silap kerana angka itu menunjukkan pembangkang yang hancur bukan BN," katanya selepas menghadiri Program Nur Ramadan di Masjid Jamek Kampung Likas, di sini, malam tadi.Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada BN pada 17 September 2008 mengakibatkan BN kehilangan dua kerusi parlimen iaitu Sepanggar dan Tawau serta dua kerusi negeri iaitu Likas dan Luyang. Pada Sabtu lalu, Datuk Seri Lajim Ukin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional Beaufort berkuat kuasa serta-merta dan mengumumkan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS). Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort bagaimanapun masih anggota UMNO. Sehari selepas itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Bumburing pula mengumumkan keluar parti berkenaan dan mengumumkan penubuhan Angkatan Perubahan Sabah. Bumburing adalah Ahli Parlimen Tuaran.Ahmad berkata, ahli parlimen terbabit bertindak keluar parti kerana terpedaya dengan janji manis Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.Terdahulu, ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Kampung Pantai Manis, Kota Belud bersama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM10,000 untuk membaik pulih masjid itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment