Monday, August 6, 2012

Datasonic dijangka raih RM40.7j




KUALA LUMPUR 3 Ogos - Datasonic Group Bhd. (Datasonic) dijangka menjana dana sebanyak RM40.7 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) ekoran penyenaraian mereka di Bursa Malaysia.
Datasonic merupakan penyedia penyelesaian kad pintar dan kad pengenalan diri selamat di Malaysia.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Tan Sri Mohamed Hashim Mohd. Ali berkata, daripada dana tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan modal, modal kerja, penyelidikan dan pembangun (R&D) dan perbelanjaan penyenaraian.
''Sebanyak RM27.10 akan digunakan untuk perbelanjaan modal, RM6 juta R&D, RM5 juta modal kerja dan baki bagi perbelanjaan penyenaraian.
''Sebahagian daripada perbelanjaan modal yang diperuntukkan itu akan digunakan untuk membina ibu pejabat baru dan kilang pengeluaran kad pintar,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran prospektus Datasonic di sini hari ini.
Prospektus tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.
Hadir sama Pengarah Urusan Datasonic, Datuk Hanifah Noordin, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Investment Bank Bhd., Rafidz Rashidi, Ketua Pegawai Eksekutif HwangDBC Investment Bank Bhd., Mahesh Rupawalla dan Timbalan Pengarah Urusan Datasonic, Chew Ben Ben.
Tambah Mohamed Hashim, penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia nanti adalah bertujuan untuk mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja di peringkat tempatan tetapi rantau ini.
"Untuk mengembangkan perniagaan di peringkat rantau kami memerlukan modal dengan penyenaraian ini ia dapat membantu.
"Selain itu, peluang untuk menerima lebih banyak projek apabila disenaraikan kelak adalah lebih cerah berbanding sekarang.
"Penyenaraian akan mengukuhkan profil syarikat dan memberikan akses mudah kepada pasaran modal apabila diperlukan dan sekaligus memberikan nilai kepada Kumpulan dan pemegang saham,'' jelasnya.
Datasonic akan menerbitkan 20,373,996 saham biasa baru bagi RM0.50 sesaham.
Sebanyak 6,000,000 saham baru untuk awam, 4,009,996 saham baru kepada pengarah, kakitangan layak dan mereka yang menyumbang kepada syarikat, 8,517,000 saham baru untuk permohonan pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan 1,847,000 saham baru kepada pelabur terpilih.
IPO itu turut menawarkan tawaran jualan sehingga 7,932,000 saham sedia ada untuk pelabur terpilih dengan harga terbitan ditetapkan pada RM2.00 sesaham.
Datasonic dijangka disenaraikan di Bursa Malaysia pada 3 September 2012.
Datasonic pada masa ini mempunyai buku tempahan bernilai RM531 juta.
"Di masa ke hadapan, mereka berharap untuk menerima lebih banyak kontrak kerajaan dan swasta," kata Mohamed Hashim.

No comments:

Post a Comment