Thursday, August 2, 2012

Felda sumbang RM10,000



AHMAD Maslan (dua dari kiri) menyerahkan cek sumbangan Felda sebanyak RM10,000 kepada Azli Sabran (dua dari kanan) di Hospital Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tiada ucapan boleh diungkapkan oleh bapa kepada pasangan kembar Siam lelaki berusia 15 bulan, Azli Sabran melainkan lafaz syukur kepada hadrat Ilahi setelah keperitan hidupnya mendapat bantuan daripada Felda.
Bebanan bekas mekanik itu yang tidak bekerja selama lima bulan semata-mata untuk menjaga pasangan kembar tersebut akhirnya terbela apabila Felda menyumbang cek berjumlah RM10,000 kepada Azli.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, Felda berhasrat membantu Muaiman dan Muaimin memandangkan pasangan kembar itu merupakan cucu peneroka Felda.
"Sumbangan itu diharapkan dapat meringankan beban yang terpaksa ditanggung Azli termasuk pembiayaan kos rawatan susulan dua kanak-kanak lelaki malang tersebut.
"Bantuan berkenaan merupakan dana daripada Tabung Kebajikan Felda yang diwujudkan bertujuan membantu para peneroka ditimba musibah termasuklah yang menghidap penyakit kronik," katanya pada sidang akhbar selepas menziarah pasangan kembar itu di wad Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Besar Felda, Faizoull Ahmad; Pengarah Pembangunan Komuniti Felda, Anuar Malik dan Presiden Majlis Belia Felda, Anuar Manap.
Menurut Ahmad, tabung itu sebenarnya telah wujud sejak tahun 1973, tetapi ia tidak pernah dihebahkan kepada orang ramai termasuk media. Namun, dana tersebut, katanya, telah banyak membantu seluruh generasi peneroka Felda termasuklah masalah dialami Azli.
"Memanglah tabung kebajikan berkenaan diutamakan kepada para peneroka, namun generasi baru peneroka akan juga dibantu kerana mereka merupakan sebahagian keluarga Felda.
"Kita akan terus membantu seluruh keluarga Felda lebih-lebih lagi ekoran keuntungan yang berlipat ganda selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, isteri Ahmad, Datin Noraini Sulaiman turut menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk kain lampin dan peralatan bayi untuk kegunaan pasangan kembar berkenaan.
Kembar tersebut yang lahir pada 18 April 2011 merupakan pasangan kembar Siam yang mempunyai tiga kaki, bercantum tulang pelvik di bahagian pinggul, tidak mempunyai saluran dubur, berkongsi usus dan saluran kencing.

No comments:

Post a Comment