Thursday, August 2, 2012

Program baik pulih rumah nelayan


PONTIAN 1 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan RM1.3 juta bagi melaksanakan program membaik pulih rumah nelayan di daerah Pontian pada tahun ini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, setiap rumah yang telah dikenali pasti oleh Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk dibaik pulih akan menerima peruntukan RM6,000.
Beliau berkata, pada peringkat permulaan, sebanyak 132 rumah nelayan akan dibaik pulih melibatkan perbelanjaan RM806,000 dan dijangka siap sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
"Pihak urus setia juga memutuskan untuk membina sebuah rumah milik Mustafa Othman, 44, yang rumah asalnya sekarang didapati terlalu usang dan tidak selamat untuk didiami dengan kos RM20,000," katanya semasa merasmikan program Baik Pulih Rumah Nelayan di Kampung Sri Tanjung Benut, di sini semalam.
Turut hadir Pengarah LKIM Negeri, Abdullah Ismail; Pengurus Besar PNK Pontian, Alias Salam; Pengerusi PNK Pontian, Pungot Selamat dan Setiausaha Majlis Daerah Pontian, Nor Syazlan Abd. Razak.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, perkampungan nelayan yang terlibat dalam program tersebut bermula dari Tampok Laut hingga ke Kampung Jeram Batu dan Teluk Kerang yang berada di bawah naung PNK Pontian.
"Bantuan ini merupakan satu lagi tanda keprihatinan kerajaan kepada golongan nelayan supaya mereka dapat tinggal di rumah yang lebih selesa dan selamat," katanya sambil memberitahu 19 tukang rumah dan dua pembekal bahan binaan telah dilantik bagi melaksanakan program tersebut.
Sementara itu, Mustafa yang akan mendapat sebuah rumah baru bersyukur dan terima kasih kepada kerajaan kerana memberikan satu peruntukan khas kepada keluarganya kerana rumah sedia ada sering dimasuki air pasang dari Sungai Benut.
"Saya mempunyai seorang anak OKU (orang kelainan upaya), Nor Afirah berusia 11 tahun yang terpaksa dipangku oleh isteri, Fatimah Ami, 38, setiap kali rumah kami dimasuki air pasang. Selain Nor Afirah, saya ada tiga lagi anak yang masih bersekolah," katanya.
Aliman Latari, 51, yang menerima peruntukan baik pulih rumah RM6,000 pula memberitahu, akan menggunakan bantuan itu untuk menggantikan atap zink yang telah rosak serta beberapa bahagian lain seperti tingkap, jeriji dan gelegar rumah perlu dibaiki segera.

No comments:

Post a Comment