Monday, August 6, 2012

Tindakan bersifat peribadi



SEMPORNA 2 Ogos - Tindakan bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin keluar Barisan Nasional (BN) dan menyokong pembangkang lebih bersifat peribadi.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata, kenyataan Lajim kononnya beliau bertindak demikian untuk membela rakyat Sabah boleh dipertikai kerana rakyat Sabah sejak dahulu hingga ke hari ini mendapat pembelaan kerajaan BN.
“Kita lihat sendiri pembangunan di Sabah hari ini di bawah BN begitu jelas dan rakyat pun terbela dari segi kehidupan mereka dan dari segi apa pun yang mereka inginkan. Rakyat sentiasa didengar dan dibantu kerajaan.
“Jadi, saya rasa beliau menyedari keadaan yang sebenar tetapi oleh sebab-sebab tertentu, beliau membuat keputusan sendiri untuk menyertai pembangkang. Itu terpulang kepada beliau," katanya.
Nasir berkata demikian ketika mengulas tindakan Lajim meletakkan semua jawatannya dalam UMNO dan menyokong pembangkang dengan menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah selepas merasmikan majlis pengibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 peringkat daerah Semporna, di sini hari ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Nasir mengingatkan rakyat supaya bersyukur atas keamanan, keharmonian dan keselamatan yang dikecapi sejak negara mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.
Katanya, semua rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahan dan memperkukuh suasana perpaduan sedia ada bagi memastikan negara dan rakyat terus menikmati keharmonian dan kejayaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim berkata, biarpun pelbagai alasan diberikan Lajim berhubung tindakannya itu sudah pasti ada sesuatu yang menggerakkan beliau mengambil keputusan tersebut.
Katanya, tindakan itu sebenarnya secara tidak langsung memberi mesej kepada Pemuda UMNO untuk melipatgandakan usaha memberi kekuatan kepada parti.
“Kita kena cari jalan melipatgandakan usaha agar tsunami pada Pilihan Raya Umum 2008 tidak berulang kerana ada perkara yang gagal dihidu BN disebabkan tiada sebarang petunjuk, tetapi kini sudah ada dan berlaku di Sabah,’’ ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mencerminkan diri sebelum mendabik dada mendakwa sokongan terhadap mereka semakin bertambah ekoran tindakan Lajim dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing keluar parti.
Katanya, tindakan pemimpin itu bukan disebabkan mereka mempunyai masalah dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak sebaliknya kerana masalah politik peribadi.
“Berdasarkan rekod, PKR sentiasa mempunyai masalah pemimpin mereka keluar parti sehingga ia digelar parti keluar ramai-ramai oleh pengkritik politik," katanya.

No comments:

Post a Comment