Thursday, September 27, 2012

10 projek pengangkutan Lembah Klang



KERAJAAN juga sedang mengkaji pembinaan MRT laluan 2 dan 3 yang masing-masing sejauh 29 kilometer dan 36 kilometer.

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kerajaan sedang melaksanakan 10 projek pengangkutan awam signifikan di Lembah Klang bagi menambah baik sistem sedia ada, seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, projek-projek itu adalah menambah 38 set tren KTM Komuter daripada tiga gerabak kepada enam gerabak dan pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) laluan Sungai Buloh ke Kajang sepanjang 51 kilometer (km).
Selain itu, katanya, projek-projek terlibat adalah:
* Sambungan 17km jajaran transit aliran ringan (LRT) dari Kelana Jaya ke Putra Heights.
* Sambungan 17.7km jajaran LRT dari Seri Petaling ke Putra Heights.
* Mewujudkan sistem Bus Rapid Transit (BRT) dari Kuala Lumpur ke Klang sepanjang 33km dengan 25 stesen bas (dijangka siap 2014).
* BRT dari Setia Jaya ke Persiaran Subang, Sunway sejauh 5.5km dengan tujuh stesen.
* Mengkaji pembinaan MRT Laluan 2 sejauh 29km dengan 22 stesen.
* Mengkaji pembinaan MRT Laluan 3 sejauh 36km dengan 24 stesen.
* Penambahbaikan sistem monorel dan sambungan jajaran dari KL Sentral ke Happy Garden.
* Memperbaiki sistem rangkaian bas sepanjang koridor MRT dengan sasaran 30 peratus peningkatan dalam jaringan tersebut sebagai bas pengantara.
Selain 10 projek tersebut, katanya, kerajaan juga sedang mengkaji kewajaran empat lagi projek pengangkutan awam tambahan iaitu sambungan jajaran LRT dari Kelana Jaya ke Klang, sambungan jajaran monorel Fasa 1 dari Happy Garden ke Sunway, pembinaan Putrajaya Monorail dan sistem BRT di lapan laluan.
Kerajaan akan menjalankan kajian feasabiliti terperinci terhadap empat cadangan tersebut sebelum keputusan muktamad diambil," katanya ketika menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerajaan menghadapi beberapa masalah dalam pelaksanaan projek terlibat seperti menentukan jajaran paling sesuai dengan pengambilan tanah awam paling minimum, bantahan orang awam seperti dalam isu MRT Jalan Sultan dan Taman Tun Dr. Ismail, peruntukan kewangan dan keuntungan pelaburan yang lambat kepada syarikat terlibat.

No comments:

Post a Comment