Tuesday, September 25, 2012

30 warga emas, ibu tunggal terima sumbangan Permas


SUNGAI PETANI 23 Sept. - Seramai 30 warga emas dan ibu tunggal menerima sumbangan beras dan makanan daripada Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Kedah sempena Program Muafakat Ukhuwah di Taman Bakar Kapor di sini baru-baru ini.

Pengerusi pertubuhan itu, Abdul Aziz Ali berkata, mereka adalah golongan Melayu yang miskin dan kurang berkemampuan dari Kedah dan Pulau Pinang.
"Walaupun sumbangan yang diberikan tidak seberapa nilainya, ia boleh meringankan beban dan menggembirakan hati penerima," katanya.
Sumbangan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, Permas Kedah yang baru sahaja ditubuhkan kini mempunyai 54 ahli dan menyasarkan 200 orang sebelum akhir tahun ini untuk membolehkan lebih banyak aktiviti dijalankan.
"Ahli persatuan terbuka kepada sesiapa sahaja dan ia bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan umat Islam di negeri ini.
"Permas juga sedang mengambil inisiatif untuk mencegah berlaku sebarang perpecahan dan prasangka buruk dalam kalangan orang Melayu dalam semua hal dan saya yakin ahli Permas mampu membuat lebih banyak kerja-kerja amal selepas ini," katanya.
Seorang penerima sumbangan, Melor Abu Hasan, 43, dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang berkata, dia gembira dengan kewujudan Permas yang menjalankan peranan membantu orang Melayu di peringkat akar umbi.

No comments:

Post a Comment